PAC Parlimen setuju mulakan prosiding siasat Lembaga Tabung Haji

Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding bagi menyiasat kelemahan tadbir urus, kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (LTH).

RINGKASAN BERITA AI
  • PAC akan tumpukan kepada status dan kemajuan pelaksanaan syor RCI, bukan mengulang siasatan RCI.
  • Tajuk, TOR dan senarai saksi belum ditetapkan; mesyuarat khas akan diadakan untuk menentukan perkara itu.
  • Pendedahan RCI amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam sekiranya tidak ditangani sewajarnya.
  • PAC akan menggunakan Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara dan laporan PwC sebagai rujukan dalam prosiding.

Pengerusi PAC Parlimen Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat susulan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji dari Tahun 2014 hingga 2020 yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

“PAC berpandangan sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan di bawah Parlimen yang bipartisan, PAC mempunyai bidang kuasa jelas seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Am Bilangan 1 Organisasi-organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri adalah menjadi tugas dan tanggungjawab PAC untuk memulakan prosiding berhubung isu ini.

“Pada masa sama, PAC ingin menegaskan bahawa prosiding ini bukan bertujuan mengulangi siasatan RCI yang telah dibuat dengan menyeluruh, sebaliknya akan menumpukan kepada status dan kemajuan sebenar pelaksanaan syor-syor RCI selaras dengan fungsi teras PAC,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, tajuk, Terma Rujukan (TOR) dan senarai saksi berhubung prosiding Lembaga Tabung Haji ini masih belum ditetapkan buat masa ini dan Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat khas bagi tujuan berkenaan.

Kenyataan sama turut menegaskan bahawa pendedahan RCI berkenaan adalah amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam di negara ini, sekiranya ia tidak ditangani dengan sewajarnya.

Pada masa sama, PAC juga mempunyai pengalaman dalam menyiasat isu-isu yang besar dan sensitif antaranya Prosiding 1MDB pada tahun 2016, Prosiding Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Berjumlah RM19.4 Bilion (2019) dan Prosiding Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS – Littoral Combatant Ship) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (2022).

Malah, prosiding PAC berhubung perolehan LCS dimulakan selepas Jawatankuasa ini menerima laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) pada tahun 2019.

Bagi memastikan siasatan prosiding berhubung Lembaga Tabung Haji dilakukan secara komprehensif, telus dan berakauntabiliti, PAC akan turut menggunakan dokumen-dokumen seperti Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Audit Firma Audit PwC sebagai rujukan dalam prosiding itu.

PAC komited untuk menjalankan siasatan ini secara telus dan adil demi memastikan akauntabiliti berterusan pengurusan wang awam dan mengembalikan keyakinan penuh pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.