
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa memantau kualiti udara semasa dan sedia melaksana langkah mitigasi berdasarkan keperluan serta penilaian keadaan jerebu ketika ini.
- Pelaksanaan pembenihan awan boleh dilaksana berdasarkan penilaian NADMA dan MetMalaysia.
- JAS memantau kualiti udara berterusan; bacaan IPU dikemas kini setiap jam di laman JAS dan aplikasi MyJAS EQMS.
- Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera lapor kepada JBPM atau JAS.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon memaklumkan pelaksanaan operasi pembenihan awan antara salah satu tindakan yang boleh dilaksana.
“Pelaksanaan itu adalah berdasarkan keperluan serta penilaian semasa oleh NADMA dan MetMalaysia. Sehubungan itu, JAS akan terus memantau kualiti udara secara berterusan dan bacaan IPU dikemas kini setiap jam menerusi laman rasmi JAS serta aplikasi MyJAS EQMS,”katanya ketika dihubungi RTM.
Setakat pukul 12 tengah hari, 12 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan bacaan tertinggi direkodkan di Sri Aman, Sarawak (164).
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atau JAS sekiranya situasi itu berlaku.