“Aku Janji” angkat nilai kasih sayang, perpaduan sempena Hari Kebangsaan

Setiap individu memerlukan kerjasama antara satu sama lain untuk membangunkan negara

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – ‘Aku Janji’, video kempen (TVC) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengetengahkan nilai kasih sayang, kesamarataan serta semangat perpaduan bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lagu "Aku Janji" nyanyian Faisal Tahir dijadikan inspirasi, mengangkat nilai kasih sayang dan kesejahteraan untuk menonjolkan patriotisme.
  • TVC menampilkan remaja pekak dan bisu sebagai simbol bahawa setiap individu ada kekurangan dan memerlukan kerjasama bersama.
  • Setiap cameo diberi fungsi tersendiri membawa mesej perpaduan, tolong-menolong, ilmu, seni warisan dan kebersamaan melalui ucapan ringkas.
  • Konsep perjalanan dua beradik ke lokasi bersejarah menjadi simbol perjalanan negara; warna pakaian dan kenderaan melambangkan identiti Malaysia.

Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa, Bahagian Berita Ehwal Semasa, Rahayu Wahid memaklumkan TVC berkenaan diinspirasikan daripada lagu Aku Janji nyanyian Faizal Tahir yang membawa nilai kasih sayang dan kesejahteraan.

“Pendekatan itu dipilih bagi mengetengahkan nilai patriotisme yang dekat dengan kehidupan masyarakat, selain mengangkat sisi positif rakyat Malaysia.

“Lagu itu ada rasa dan nilai kasih, nilai sejahtera dan sebagainya. Sebenarnya itu yang kita angkat untuk menerbitkan TVC Aku Janji,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Beliau turut menjelaskan TVC berkenaan, mengetengahkan golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi watak seorang remaja pekak dan bisu.

“Pemilihan watak itu membawa mesej bahawa setiap individu mempunyai kekurangan dan memerlukan kerjasama antara satu sama lain untuk membangunkan negara.

“Kita kena tahu bahawa setiap daripada kita tidak sempurna. Jadi bagaimana untuk kita sempurnakan setiap individu adalah dengan memerlukan kerjasama antara satu sama lain,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, setiap watak cameo dalam TVC tersebut turut diberi fungsi tersendiri termasuk membawa mesej perpaduan, semangat saling membantu, ilmu, seni warisan dan kebersamaan.

Mesej berkenaan turut disampaikan melalui ucapan ringkas setiap cameo yang sarat dengan nilai dan makna.

Sementara itu, Pengarah dan Penyunting TVC, Muhamad Fadhli Muhamad Salleh memaklumkan projek berkenaan bermula 2 Julai lepas dengan konsep perjalanan dua beradik ke beberapa lokasi bersejarah dan menarik di Malaysia.

“Perjalanan itu menjadi simbol kepada perjalanan sebuah negara, manakala elemen warna pada pakaian serta kenderaan digunakan bagi melambangkan identiti Malaysia.

Bagi pelakon, Rafique Iskandar Muhammad Khaliffa pula mengakui telah membuat persediaan untuk membawa watak remaja pekak dan bisu dengan mempelajari bahasa isyarat bersama jurubahasa isyarat RTM.

“Saya belajar hari-hari. Semasa pengambaran saya belajar, begitu juga di rumah saya akan buat persediaan untuk semak bahasa isyarat saya,” kongsinya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.