
SHAH ALAM, 25 Ogos – Seorang lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan sekumpulan lelaki yang menyebabkan seorang lelaki maut di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, di sini, hari ini.
- Rakaman kamera papan pemuka tular di media sosial.
- Sekumpulan individu meluru keluar dari beberapa kenderaan dan menyerang seorang lelaki terbaring di jalan.
- Sebuah kenderaan membuat pusingan lalu melanggar seorang individu yang kemudian diserang.
- Suspek dipercayai menggunakan senjata tajam; identiti, keadaan mangsa dan motif masih belum pasti; polis menyiasat.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Samah.
Pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam yang disalurkan oleh anggota bertugas di Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 petang. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), berlaku pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki sebelum tercetus kejadian tetak antara mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna biru dipercayai melanggar seorang daripada suspek hingga menyebabkan lelaki berkenaan maut di tempat kejadian.
Kes kemudiannya disalurkan kepada Pasukan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Shah Alam bagi mengesan suspek yang terbabit.
“Hasil operasi itu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga India bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Polis turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian terbabit.
Beliau berkata, individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-830 8706 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman berdurasi satu minit dari kamera papan pemuka kenderaan yang terletak berhampiran lokasi kejadian memaparkan sekumpulan individu dilihat meluru keluar dari beberapa kenderaan sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.
Sebuah lagi kereta dilihat membuat pusingan dan melanggar seorang individu sebelum beberapa individu lain menyerangnya.