
PUTRAJAYA, 24 Ogos- Seramai 1,500 murid daripada 36 sekolah di Selangor bakal mewarnai persembahan grafik manusia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini menerusi gabungan 16 lagu pelbagai genre.
- Persembahan menampilkan elemen baharu termasuk penggunaan trampolin dan kompang.
- Latihan bermula sejak Julai di sekolah masing-masing dan peserta kemudiannya digabungkan untuk persiapan akhir.
- Tema menekankan perpaduan, kepelbagaian dan keharmonian melalui formasi, grafik, paluan dan kibaran Jalur Gemilang.
- Setiap gerakan melambangkan semangat kerjasama dan kebersamaan rakyat untuk membina masa depan negara, disaksikan pemimpin kementerian.
Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan (KPM), Ithnin Mahadi berkata persembahan tahun ini turut menampilkan elemen baharu menerusi penggunaan peralatan seperti trampolin.
“Kelainan tahun ini daripada segi genre lagu, dengan 16 lagu yang menggabungkan lagu Gen Z (Generasi Z), lagu terkini, lagu asli dan sebagainya. Kita juga selitkan penggunaan peralatan seperti kompang dan trampolin dalam persembahan,” katanya.
Beliau berkata latihan bermula kira-kira sebulan lalu di sekolah masing-masing sebelum kesemua peserta digabungkan di Dataran Putrajaya bagi persiapan akhir.

“Setiap gerakan yang dipersembahkan melambangkan semangat kerjasama dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam membina masa depan negara,” katanya.
Ithnin ditemui pemberita selepas meninjau sesi latihan grafik manusia di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.