Dron peninjau Rusia didakwa ceroboh ruang udara Poland

Foto hiasan

WARSAW, 24 November- Sebuah dron peninjau Rusia didakwa menceroboh ruang udara Poland malam tadi, sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan di negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem pengawasan Poland mengesan dron tanpa pemandu Rusia memasuki ruang udaranya dalam tempoh singkat.
  • Tentera diberi kebenaran menembak jatuh dron itu, namun tidak berbuat demikian selepas objek tersebut mengubah haluan bagi mengelakkan risiko kepada orang awam.
  • Poland menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan sengaja dan provokasi, beberapa hari selepas peluru berpandu Rusia dilaporkan jatuh di wilayahnya.

Komando Operasi Angkatan Tentera Poland dalam kenyataan pada Selasa mengesahkan sistem pengawasan negara itu mengesan sebuah dron tanpa pemandu Rusia memasuki ruang udaranya dalam tempoh singkat.

Menurut kenyataan itu, pihak tentera telah mendapat kebenaran untuk menembak jatuh dron berkenaan, namun memutuskan untuk tidak melepaskan tembakan selepas objek itu mengubah haluan, selain bagi mengelakkan risiko terhadap orang awam.

Timbalan Menteri Pertahanan Poland, Pawel Zalewski berkata pihaknya percaya kejadian itu dilakukan secara sengaja.

“Kami menganggap ini sebagai tindakan yang disengajakan,” katanya dalam sebuah stesen radio tempatan, RMF 24.

Seorang lagi Timbalan Menteri Pertahanan, Stanislaw Wziatek menyifatkan kejadian itu sebagai satu provokasi.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas tiga peluru berpandu Rusia dilaporkan jatuh di wilayah Poland, sekali gus mencetuskan kemarahan kerajaan negara itu serta mendorong NATO menyatakan sokongan kepada Warsaw.

Poland, yang menyokong Ukraine dalam konflik hampir lima tahun dengan Rusia, berulang kali menuduh Moscow cuba menyasarkan negara-negara penyokong Kyiv menerusi strategi perang hibrid. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.