
SINGAPURA, 24 Ogos – Harga minyak dunia turun lebih AS$1 setong pada Isnin apabila pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan minggu lalu menjelang pengumuman Washington mengenai sekatan tambahan terhadap Iran yang berpotensi menjejaskan bekalan minyak dari Asia Barat.
- Kenaikan mingguan minyak selepas rundingan damai AS-Iran gagal, menimbulkan kebimbangan tentang gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz.
- Washington dijangka umum sekatan tambahan; Setiausaha Perbendaharaan akan mengadakan sidang media dan Trump mengancam tindakan terhadap rakan dagang Iran.
- Penganalisis bimbang sekatan boleh mencetus tindak balas keganasan; kepimpinan Iran bercelah antara pragmatik dan berhaluan keras, mempengaruhi arah tindak balas.
Niaga hadapan minyak mentah Brent susut AS$1.22 atau 1.29 peratus kepada AS$93.17 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat turun AS$1.20 atau 1.38 peratus kepada AS$85.86 setong.
Kedua-dua penanda aras itu bagaimanapun mencatat kenaikan mingguan kedua berturut-turut minggu lalu, selepas masing-masing meningkat lebih lima peratus susulan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran menemui jalan buntu.
Kebuntuan itu turut menjejaskan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang sebelum ini menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dijadual mengadakan sidang media pada pukul 2 petang waktu tempatan selepas mengancam untuk mengenakan “sekatan paling keras dalam sejarah” terhadap Iran.
Presiden Donald Trump turut mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap rakan dagang Iran.
Penganalisis komoditi Commonwealth Bank of Australia, Vivek Dhar, berkata masih belum jelas sama ada dasar AS untuk mengasingkan Iran secara ekonomi akan mencapai matlamatnya.
Namun, katanya, sekiranya langkah itu berjaya mengekang Tehran, risiko Iran bertindak balas dengan meningkatkan keganasan akan menjadi antara faktor utama yang perlu diberi perhatian pasaran tenaga.
Iran sebelum ini mengecam rancangan AS untuk mengumumkan sekatan baharu, meskipun Presiden Masoud Pezeshkian menyeru supaya penyelesaian diplomatik dicapai.
Penganalisis pasaran IG, Tony Sycamore, pula berkata anggota kepimpinan Iran yang lebih pragmatik cenderung memilih langkah meredakan ketegangan, manakala golongan berhaluan keras mungkin memilih untuk terus berkonfrontasi.
“Menjelang penghujung minggu ini, kita mungkin mendapat gambaran lebih jelas pihak mana dalam kepimpinan Iran yang mempunyai pengaruh lebih besar,” katanya.
Sementara itu, sumber perdagangan berkata tawaran minyak mentah Iran kepada pembeli China semakin berkurangan, manakala harganya meningkat berikutan sekatan AS yang menjejaskan penghantaran minyak Tehran.
Bagaimanapun, Iran dilaporkan membenarkan beberapa kapal tangki minyak Iraq melalui Selat Hormuz selepas menerima permintaan berulang kali daripada Baghdad, menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, pada Sabtu. – REUTERS.