
KLANG, 23 Ogos – Atlet Sarawak, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Mia Ghazali, meraih pingat emas acara Muay Thai wanita kategori 42 hingga 45 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas menewaskan wakil Johor, Damia Husna Azian, 34-33 dalam aksi final di KSL Esplanade Mall, hari ini.
- Atlet muda mengekalkan kelebihan mata pada pusingan terakhir selepas aksi sengit.
- Kejayaan hasil persiapan kira-kira dua bulan dengan fokus kepada teknik dan latihan intensif.
- Berdepan lawan lebih berusia dan berpengalaman tetapi yakin dengan jurulatih serta sokongan keluarga, termasuk dua abang.
- Aksi final Muay Thai memuatkan 12 kategori sepanjang lima hari, 19 hingga 23 Ogos di KSL Esplanade Mall.
Pertarungan berlangsung sengit terutama pada pusingan terakhir, namun Mia berjaya mempertahankan kelebihan mata untuk memastikan kemenangan.
Atlet berusia 15 tahun itu berkata kejayaan berkenaan adalah hasil persiapan selama kira-kira dua bulan dengan memberi tumpuan kepada aspek teknik dan latihan intensif.
“Saya sudah berlatih kira-kira dua bulan untuk teknik dan banyak memberi fokus kepada latihan. Semuanya berbaloi dan saya sangat gembira serta berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya ketika ditemui media.
Berdepan lawan yang enam tahun lebih berusia dan berpengalaman, Mia berkata beliau kekal yakin terhadap persiapan yang dilakukan bersama jurulatih selain mendapat sokongan keluarga, termasuk dua abangnya yang turut mempunyai latar belakang dalam sukan Muay Thai.
“Saya percaya kepada latihan saya, percaya kepada jurulatih dan percaya kepada Allah. Tidak lupa juga kepada keluarga saya,” katanya.
Aksi final Muay Thai hari ini turut menyaksikan 12 kategori dipertandingkan sepanjang lima hari saingan, bermula 19 hingga 23 Ogos di KSL Esplanade Mall.