
SHAH ALAM, 23 Ogos – Atlet terjun muda tuan rumah Ayu Syuhaida Khairul yang mewakili Selangor mencipta kejutan besar apabila merangkul pingat emas dalam acara tiga meter (m) papan anjal individu wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini.
- Ayu Syuhaida, 14, berhijrah dari gimnastik ke sukan terjun; baru lapan bulan menceburi sukan ini.
- Bermula berlatih terjun sejak Januari; mengumpul 237.20 mata, menewaskan Dayang Nursharzyra yang meraih 223.20.
- Lee Yiat Qing dari Wilayah Persekutuan raih pingat gangsa dengan 216.10 mata.
- Acara platform seirama campuran dimenangi Sarawak dengan 253.95 mata; Wilayah Persekutuan perak, Selangor gangsa.
Kejayaan itu hadir ketika Ayu Syuhaida, 14, baru lapan bulan menceburi sukan terjun selepas menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dalam gimnastik artistik sebelum membuat keputusan meninggalkan sukan berkenaan.
Ayu Syuhaida yang mula berjinak-jinak dengan sukan terjun pada Januari lepas tampil tenang di Pusat Akuatik Selangor untuk mengumpul 237.20 mata, sekali gus menewaskan Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin dari Sarawak yang meraih perak dengan 223.20 mata.
Pingat gangsa menjadi milik Lee Yiat Qing dari Wilayah Persekutuan dengan 216.10 mata.
Sementara itu, acara platform seirama campuran menyaksikan Sarawak menyambar pingat emas menerusi Elvis Priestly Clement-Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dengan 253.95 mata, mengetepikan cabaran Wilayah Persekutuan (229.47 mata) dan Selangor (213.79 mata) yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.