
AYER KEROH, 23 Ogos – Melaka optimis sasaran 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan berjaya dicapai.
- Skuad skuasy wanita raih emas selepas 32 tahun; pasukan pencak silat Melaka mendominasi sukan itu.
- Prestasi keseluruhan pasukan Melaka melebihi jangkaan; banyak acara belum selesai memberi peluang tambahan pingat.
- Setakat pukul 10 pagi, Melaka mengumpul 15 emas, 11 perak dan lapan gangsa.
Exco Belia dan Sukan Negeri, Datuk V P Shanmugam berkata, ia berikutan prestasi yang ditunjukkan atlet Melaka setakat hari kelapan temasya itu berlangsung.
Terdapat beberapa sukan yang menunjukkan prestasi terbaik antaranya pasukan skuasy wanita berpasukan yang berjaya merangkul emas setelah 32 tahun penantian dan pasukan pencak silat Melaka yang berjaya mendominasi sukan berkenaan pada kali ini.
“Secara keseluruhan, prestasi pasukan Melaka ada yang di luar jangkaan dan menunjukkan pencapaian yang terbaik. Saya optimis kerana masih banyak acara yang belum selesai dan mereka masih dalam pertandingan.
“Saya berharap kita dapat meraih sekurang-kurangnya satu pingat daripada bola sepak SUKMA Sarawak. Kita berjaya muncul naib juara dan berdepan pasukan yang kuat, jadi kekalahan itu perlu diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Memanah Tradisional Hang Jebat Sekolah-Sekolah Malaysia di sini.
Setakat ini Melaka telah memperoleh 15 pingat emas, 11 pingat perak dan lapan pingat gangsa setakat pukul 10 pagi tadi.
Dalam pada itu, sebanyak 320 peserta daripada lebih 40 sekolah seluruh negara menyertai Kejohanan Memanah Tradisional Hang Jebat Sekolah-Sekolah Malaysia yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).