Komunikasi dua hala pastikan dasar menepati, menyelesaikan masalah rakyat

Shahidah Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dilihat sebagai pendekatan penting bagi memastikan dasar yang dilaksanakan menepati keperluan serta menyelesaikan permasalahan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklum balas rakyat sebagai indikator untuk menilai keberkesanan dan menambah baik dasar sedia ada.
  • Dasar yang memberi manfaat diteruskan, pendekatan tidak menepati keperluan perlu dinilai semula.
  • Usaha mendekati rakyat tidak hanya bergantung pada media sosial, tetapi perlu sokongan pendekatan bersemuka.
  • Turun padang wakil rakyat memberi gambaran sebenar masalah dan memastikan rakyat faham tujuan serta manfaat dasar.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shahidah Abdul Razak berkata, maklum balas rakyat merupakan indikator dalam membantu kerajaan menilai keberkesanan dan menambah baik dasar sedia ada.

“Dasar ataupun polisi itu sebenarnya akan kembali kepada rakyat. Jadi, apa yang rakyat ingin lihat adalah apa yang mereka dapat daripada dasar tersebut dan ini juga akan membantu kerajaan membuat dasar yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Dasar yang memberi manfaat kepada rakyat wajar diteruskan, manakala pendekatan yang tidak menepati keperluan atau belum menemui penyelesaian kepada masalah perlu dinilai semula.

Komunikasi dua hala juga membolehkan kerajaan menerangkan rasional sesuatu dasar, selain mendapatkan maklum balas daripada rakyat yang menerima kesan secara langsung daripada pelaksanaannya.

Usaha mendekati rakyat tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada media sosial, sebaliknya perlu disokong pendekatan bersemuka bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan rakyat.

“Yang lebih penting adalah bagaimana kerajaan boleh mendekati sebenarnya denyut nadi rakyat tersebut dan mungkin boleh pergi wakil rakyat ke sesebuah kawasan bagi betul-betul memahami apa sebenarnya keadaan rakyat,” katanya lagi.

Pendekatan turun padang membolehkan kerajaan memahami masalah dan keperluan rakyat dengan lebih dekat, selain mendapatkan maklumat secara langsung daripada komuniti setempat.

Dengan pemerkasaan pendekatan itu, ia mampu menyampaikan dasar yang bukan sekadar memberikan penerangan, sebaliknya memastikan rakyat memahami tujuan serta manfaat yang diterima daripada pelaksanaan yang dilakukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.