
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Belanjawan 2027 akan terus memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat dengan mengambil kira perkembangan geopolitik semasa yang masih tidak menentu dan belum selesai.
- Fokus pada projek yang menyelesaikan masalah rakyat segera dan menarik pelaburan domestik serta antarabangsa.
- Perkukuh kelangsungan industri media melalui insentif seperti CEMI dan FIMI bagi merangsang pelaburan.
- Memperluas dan memperkukuh capaian internet di kawasan pedalaman yang masih berdepan kekangan akses.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketidaktentuan itu termasuk pergerakan harga minyak dunia yang boleh mempengaruhi perancangan serta keutamaan belanjawan berkenaan.
“Saya juga lihat fokus semestinya pada projek-projek yang dapat menyelesaikan masalah rakyat pada kadar segera serta usaha untuk meraih lebih banyak pelaburan, bukan hanya domestik tetapi juga antarabangsa.
“Selain itu, yang mampu melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-13 dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X Jago Tahun 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.
Dalam kapasiti sebagai Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi berkata, usaha memastikan kelangsungan dan kemampanan industri media akan menjadi fokus kementeriannya
Antara yang sedang dipertimbangkan ialah penyediaan insentif bersesuaian seperti Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) serta Insentif Penggambaran di Malaysia (FIMI) yang
berpotensi menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.
“Cadangan itu masih dalam perbincangan di peringkat Kementerian Komunikasi dengan mengambil kira pandangan kementerian lain yang berkaitan,” katanya.
Selain industri media, usaha memperkukuh capaian internet khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan kekangan akses turut diberi keutamaan.