
KUCHING, 21 Ogos – Industri kreatif digital Malaysia menjana hasil RM92.5 bilion dengan nilai eksport RM12.1 bilion, selain menarik pelaburan RM85.7 bilion serta mewujudkan lebih 11,000 pekerjaan bernilai tinggi.
- Animasi, permainan dan kandungan digital Malaysia berjaya menembusi pasaran global dengan bakat tempatan terlibat dalam produksi dan pembangunan antarabangsa.
- Syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi, memperkukuh ekosistem industri kreatif digital tempatan.
- Kerajaan sasar sumbangan ekonomi digital 25% KDNK menjelang 2030 dan 500,000 pekerjaan digital berkemahiran tinggi dalam empat tahun.
- BAGFest 2026 dinilai melalui kerjasama, pelaburan dan karya baharu serta menggalakkan pencipta muda menimba ilmu, membina jaringan industri dan mengetengahkan bakat.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pertumbuhan industri itu menunjukkan potensi ekonomi yang semakin meningkat dalam bidang animasi, permainan dan kandungan digital, melangkaui nilai kreatif.
“Ini telah mewujudkan lebih 11,000 pekerjaan bernilai tinggi dan menarik pelaburan berjumlah RM85.7 bilion. Animasi, permainan dan kandungan digital Malaysia kini berjaya menembusi pasaran di seluruh dunia.
“Kita juga mempunyai bakat tempatan yang terlibat dalam pembangunan antara permainan dan produksi terbesar dunia. Pada masa sama, syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka,” katanya ketika berucap pada Festival Animasi dan Permainan Video BAGFest 2026 di sini.
Pencapaian tersebut menunjukkan industri kreatif digital mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Malaysia berada pada landasan untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030.
Kerajaan turut menyasarkan pewujudan 500,000 pekerjaan digital berkemahiran tinggi dalam tempoh empat tahun akan datang bagi memenuhi keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.
Kejayaan sebenar BAGFest 2026 bukan hanya diukur sepanjang lima hari penganjurannya, sebaliknya menerusi kerjasama, pelaburan dan karya baharu yang mampu dilahirkan selepas festival itu berakhir.
Pada masa sama pencipta muda juga digalakkan menggunakan platform berkenaan untuk menimba ilmu, membina jaringan industri dan mengetengahkan bakat
mereka kepada pemain industri tempatan serta antarabangsa.