Shannon raih dua lagi emas, kini kumpul lima emas SUKMA

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 21 Ogos – Perenang Selangor, Shannon Tan Yan Qing terus mencuri tumpuan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila meraih dua lagi pingat emas hari ini, sekali gus menjadikan koleksi keseluruhannya kepada lima emas setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memecahkan Rekod Baharu Kejohanan 200m kuak kupu-kupu, catatan akhir 2:15.13.
  • Catatan 2:15.13 hanya 0.83 saat di belakang rekod kebangsaan 2:14.30 milik Khoo Cai Lin (2009).
  • Bantu kuartet Selangor (Khew Zi Xian, Chong Yuan Yi, Eliza Tan) menang 4x100m gaya berganti-ganti, RBK 3:54.54.
  • Sebelum ini, Shannon sudah menjuarai 200m, 400m rampaian individu dan 4x100m rampaian campuran pada minggu ini.

Perenang berusia 16 tahun itu memulakan saingan dengan memecahkan Rekod Baharu Kejohanan (RBK) dalam acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu pada peringkat saringan sebelum memperbaharui catatan berkenaan kepada dua minit 15.13 saat pada aksi final di Pusat Akuatik Darul Ehsan.

Shannon muncul juara, diikuti rakan sepasukannya, Khor Yue Lynn yang meraih pingat perak dengan catatan 2:18.19 saat, manakala Lee Yen Ern dari Pulau Pinang membawa pulang gangsa menerusi catatan 2:24.68 saat.

Catatan 2:15.13 saat itu menyaksikan Shannon kini hanya ketinggalan 0.83 saat daripada rekod kebangsaan 2:14.30 saat milik Khoo Cai Lin yang dicatat pada 2009.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan diri sendiri. Pencapaian ini memberikan saya lebih motivasi untuk memecahkan lebih banyak rekod dan terus memperbaiki diri.

“Sejujurnya, saya agak terkejut apabila berjaya memecahkan rekod. Saya sudah membuat persiapan rapi dan memberikan fokus sepenuhnya kepada perlumbaan, tetapi apabila melihat catatan itu, saya sendiri tidak menyangka dapat memecahkan rekod. Ini sememangnya satu detik yang sangat istimewa,” katanya.

Shannon kemudian meneruskan kecemerlangan apabila membantu kuartet Selangor yang turut dibarisi Khew Zi Xian, Chong Yuan Yi dan Eliza Tan meraih emas dalam acara 4x100m gaya berganti-ganti wanita dengan catatan 3:54.54 saat.

Catatan itu turut menyaksikan kuartet Selangor memperbaharui RBK bagi acara berkenaan.

Wilayah Persekutuan meraih perak dengan catatan 3:58.13 saat, manakala Pulau Pinang melengkapkan podium dengan gangsa menerusi catatan 3:59.83 saat.

Sebelum ini, Shannon telah meraih emas dalam acara 200m dan 400m rampaian individu serta 4x100m rampaian campuran pada awal minggu ini.

Dalam acara lelaki, Muhammad Dhuha Dzulfikry menghadiahkan pingat emas buat Wilayah Persekutuan selepas menjuarai acara 1,500m gaya bebas dengan catatan 15:59.79 saat.

Samuel Chong Weng Lai dari Pulau Pinang meraih perak menerusi catatan 16:39.06 saat, manakala Hermann Bok Yu Tang dari Selangor membawa pulang gangsa selepas mencatat 16:48.44 saat.

Kejayaan itu menyaksikan Shannon terus menjadi antara penyumbang utama emas buat Selangor dalam acara renang, manakala Wilayah Persekutuan turut menambah satu emas menerusi kemenangan Dhuha.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.