
KAYANG, 21 Ogos – Sebanyak 54 Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan telah dilaksanakan di seluruh negara sejak 1999.
- Mencerminkan usaha berterusan memperkukuh penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti hutan di negeri.
- Menunjukkan komitmen kerajaan negeri melindungi kawasan hutan bernilai tinggi demi generasi akan datang.
- Inisiatif bersepadu Jabatan Perhutanan menyokong penubuhan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan.
Langkah berkenaan mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti hutan.
Exco Alam Sekitar Negeri Perlis, Megat Hashirat Hassan berkata, ekspedisi yang dilaksanakan di negeri itu tahun ini merupakan yang keenam sejak program berkenaan diperkenalkan.
Beliau berkata, pelaksanaan ekspedisi itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh perlindungan kawasan hutan bernilai tinggi bagi memastikan khazanah biodiversiti Perlis terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Ekspedisi saintifik ini merupakan manifestasi usaha bersepadu Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dalam meneroka, mengkaji dan mendokumentasikan kekayaan biodiversiti negeri.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh penyelidikan saintifik hutan, malah menyokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan biodiversiti yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Negeri Perlis 2026 di Muzium Kota Kayang, di sini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni dan Ketua Penyelidik Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Negeri Perlis 2026, Dr. Razak Terhem.