Lebih 50 maut bot karam di Nigeria

Foto Reuters

GUSAU, 21 Ogos – Sekurang-kurangnya 51 orang maut selepas sebuah bot karam di negeri Sokoto, barat laut Nigeria, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot dipercayai terlebih muatan dan karam kira-kira seminit selepas memulakan perjalanan.
  • Mayoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak yang sedang dalam perjalanan ke ladang di seberang sungai.
  • Operasi mencari dan menyelamat oleh Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan sedang dijalankan.
  • Kemalangan bot sering berlaku disebabkan terlebih muatan, penyelenggaraan lemah dan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan.

Menurut penduduk tempatan, Ibrahim Musa, 46 mayat telah dikebumikan manakala lima lagi mangsa ditemukan dari sungai di kawasan Gorau, daerah Goronyo.

Seorang penduduk, Ilyasu Adamu berkata, bot berkenaan dipercayai terlebih muatan dan karam kira-kira seminit selepas memulakan perjalanan.

Katanya, penumpang dalam bot itu dalam perjalanan ke ladang di seberang sungai, dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

“Keadaannya sangat buruk,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) negeri, Dahir Kure, mengesahkan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak berkuasa belum dapat mengesahkan jumlah keseluruhan mangsa kerana masih mengumpulkan maklumat berkaitan insiden itu.

Kemalangan bot sering berlaku di sungai dan laluan air Nigeria, antara lain akibat bot terlebih muatan, penyelenggaraan yang lemah serta kegagalan mematuhi peraturan keselamatan.

Pada bulan lalu, sekurang-kurangnya lima orang maut selepas sebuah bot karam di negeri Jigawa, manakala 26 orang maut dalam kejadian sama pada Januari.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.