
KAJANG, 20 Ogos – Pelajar yang mengikuti pendidikan di penjara kini berpeluang memperoleh markah 10 peratus merit melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) apabila memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi menerusi UPU selepas dibebaskan.
- KPM meneroka pengiktirafan sijil kemahiran dan pencapaian sukan bagi pelajar penjara sebagai persediaan melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya selepas hukuman.
- Usaha memastikan peluang pendidikan di penjara memberi perubahan positif dalam kehidupan penghuni selepas pembebasan.
- Kementerian komited mendapatkan maklum balas dan tindakan susulan bersama pihak berkaitan untuk merealisasikan peluang dirancang.
- Program Hijrah Kasih perkukuh akses pendidikan, sahsiah, saringan literasi dan numerasi, serta penempatan mengikut kluster termasuk TVET, agama dan sukan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan meneroka peluang bagi membolehkan pelajar di penjara memperoleh sijil kemahiran serta mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam sukan sebagai persediaan melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya selepas tamat hukuman.
“Pencapaian sukan pelajar turut akan dipertimbang dalam aspek merit bagi membuka peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi selepas SPM.
Langkah berkenaan merupakan antara usaha KPM untuk memastikan peluang pendidikan yang diberikan kepada pelajar di penjara benar-benar dapat membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka,” katanya.
Tegasnya, komitmen untuk mendapatkan maklum balas dan mengambil tindakan susulan bagi memastikan peluang yang dirancang dapat direalisasikan dengan sokongan kementerian serta pihak berkaitan.
“Usaha itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk membina masa depan yang lebih baik, selain membantu mereka menghadapi setiap fasa kehidupan dengan keyakinan dan hala tuju yang jelas,” tambahnya lagi ketika menyampaikan ucapan penutup Program Hijrah Kasih ke 17 di Penjara Kajang.
Program Hijrah Kasih merupakan insiatif KPM dan Jabatan Penjara bertujuan memperkukuh akses pendidikan dan pembangunan sahsiah penghuni institusi koreksional, sekali gus membantu mereka membina masa depan lebih baik selaras dengan komitmen kerajaan terhadap pendidikan inklusif.
Ia turut merangkumi pelbagai pengisian, antaranya program kerohanian, saringan literasi dan numerasi serta penempatan peserta mengikut kluster tertentu seperti akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agama dan sukan.