
KUCHING, 20 Ogos – 509 buah sekolah rendah dan 82 sekolah menengah ditutup sementara berkuat kuasa serta merta pada Khamis dan esok.
- Penggantungan sekolah melibatkan 107,590 murid sekolah rendah dan 89,733 murid sekolah menengah.
- Penutupan meliputi institusi di bawah 10 Pejabat Pendidikan Daerah termasuk Kuching, Padawan, Bau, Lundu dan kawasan Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong.
- Jabatan Pendidikan Negeri menekankan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid serta akan memaklumkan sebarang perubahan dari semasa ke semasa.
Penutupan sekolah berkenaan membabitkan 107,590 murid sekolah rendah dan 89,733 murid sekolah menengah.
Menerusi kenyataan terkini Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, ia melibatkan institusi pendidikan di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di bahagian Kuching (Kuching, Padawan, Bau, Lundu) serta Bahagian Samarahan (Samarahan, Simunjan) termasuk di Bahagian Serian (Serian), Bahagian Sri Aman (Sri Aman, Lubok Antu) dan bahagian Betong (Betong).
“JPN Sarawak sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, cuaca panas yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.