PM gesa anak muda perkasa ilmu, akhlak pacu perubahan negara

Datuk Seri Anwar bersama para pelajar pada Majlis Temu Anwar dan Majlis Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026/ Foto BERNAMA

KLANG, 20 Ogos – Golongan muda digesa memperkukuh penguasaan ilmu, akidah dan akhlak bagi memastikan masa depan negara dipacu dengan pemikiran yang matang serta berintegriti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan dan tarbiyah berterusan diperlukan; pemahaman al-Quran memerlukan manhaj dan konteks, bukan sekadar pengisytiharan agama ringkas.
  • Pertembungan idea mesti berasaskan ilmu dan adab, bukannya emosi; ini peringatan bahawa ia 'Clash of Ignorance', bukan 'Clash of Civilizations'.
  • Perubahan diperlukan kepada sistem tadbir urus lebih bersih dan berintegriti; pemimpin mesti tidak mencuri dan mengutamakan keseimbangan material dan spiritual.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kekuatan ilmu penting bagi menghadapi cabaran pasca-penjajahan yang bukan sahaja melibatkan aspek politik, malah turut merangkumi pendidikan, perundangan, pemikiran dan jiwa masyarakat.

Menurutnya, proses pembentukan masyarakat berilmu tidak terhenti dengan pengucapan syahadah, sebaliknya memerlukan proses pendidikan dan pembinaan diri secara berterusan.

“Proses pengislaman itu tidak berhenti sebaik sahaja kita mengucap kalimah syahadah. Tidak. Ia adalah satu proses pendidikan, tarbiyah. Ini proses Islamisasi yang sebenar. Takkan selesai hanya dengan dua hari mendengar dua kuliah Subuh di masjid lalu mengaku sudah alim. Memahami al-Quran memerlukan manhaj dan konteks,” tegas Datuk Seri Anwar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Temu Anwar dan Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini.

Tambahnya, pertembungan idea dalam kalangan masyarakat perlu berasaskan ilmu, bukannya emosi atau kejahilan, selain menekankan kepentingan adab ketika berbeza pandangan.

Datuk Seri Anwar turut memetik pandangan sarjana Palestin, Edward Said yang menyifatkan pertembungan antara masyarakat bukan semata-mata sebagai ‘Clash of Civilizations’, sebaliknya ‘Clash of Ignorance’ atau pertembungan kejahilan.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pembangunan negara perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengutamakan aspek material dan spiritual, selain menjaga hubungan antara manusia dengan alam sekitar.

Katanya, perubahan yang diperlukan negara adalah perubahan sistem ke arah tadbir urus yang lebih bersih, berintegriti dan bebas daripada amalan memperkayakan diri.

“Kita mahukan perubahan, Islah. Namun perubahan bagaimana? Perubahan sistem ke arah yang lebih baik dan bersih. Kepimpinan negara ini mestilah dipimpin oleh mereka yang tidak mencuri, tidak memperkayakan diri dan menjadi contoh yang baik,” katanya.

Program berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 anak muda dari dalam dan luar negara menerusi dua program, iaitu Konvensyen Anak Muda Islami (KAMI) 2026 dan HAMKA, yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 Ogos lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.