
SEMPORNA, 19 Ogos – Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara di Penjara Tawau selepas gagal membayar denda RM20,000 kerana memiliki petrol sebagai barang kawalan tanpa permit.
- Mahkamah menerima pengakuan bersalah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
- Dalam kes pertama, denda atau penjara 12 bulan jika gagal bayar; 1,900 liter petrol disita dijual dan hasil diserahkan kerajaan.
- Dalam kes kedua, lelaki tanpa dokumen pengenalan dikenakan denda atau penjara lapan bulan; 900 liter petrol disita dijual, dirujuk imigresen selepas hukuman.
- KPDN Cawangan Semporna akan mempergiat penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi.
Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Dalam kes pertama, mahkamah menjatuhkan denda RM20,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda, selain memerintahkan 1,900 liter petrol yang disita dijual dan hasil jualan diserahkan kepada kerajaan.
Dalam kes kedua, seorang lagi lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri turut didenda RM20,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan 900 liter petrol yang disita dalam kes berkenaan dijual dan hasilnya dijadikan hasil kerajaan, manakala lelaki itu dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.
Kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Cawangan Semporna, PMP Zulkifli Baco.
Sementara itu Ketua Cawangan KPDN Semporna, Mohammad Roli Aliman berkata, pihaknya akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang berkaitan kawalan bekalan bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan.