108 individu ditahan dalam Op Pintas di perairan Manjung

Foto hiasan

MANJUNG, 19 Ogos – Seramai 108 individu ditahan dalam Op Pintas yang dilancarkan Bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada Selasa di dua lokasi di Manjung, Perak bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangkapan melibatkan lima suspek dipercayai tekong, pembantu tekong dan penjaga pantai serta 103 migran warga Indonesia tanpa dokumen sah.
  • Operasi merampas 22 peket disyaki syabu (kira-kira 5.8 kg) ditemui pada pakaian dan bagasi salah seorang suspek.
  • Migran masuk dan keluar persisiran Manjung menggunakan bot 'pom pom', bayaran RM800 hingga RM1,800 dibayar kepada transporter dan ejen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk M. Kumar S. Muthuvelu dalam kenyataan memaklumkan, dua lokasi yang dilaksanakan itu kira-kira 0.3 batu nautika dari perairan Manjung dan kawasan Pantai Remis, Manjung.

“Individu ditahan terdiri daripada lima lelaki Indonesia dipercayai berperanan sebagai tekong laut, pembantu tekong dan penjaga pantai berumur antara 19 hingga 60 tahun, Serta 103 migran warga Indonesia yang terdiri daripada 67 lelaki, 33 perempuan, tiga kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan yang berumur antara lapan bulan hingga 68 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua tangkapan ini tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. Hasil operasi turut berjaya merampas 22 peket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu (AB : 5800 gram) yang dijumpai pada pakaian dan bagasi salah seorang suspek,” menurut kenyataan itu.

Kesemua migran tersebut dalam perjalanan masuk atau keluar melalui persisiran pantai manjung dengan menggunakan bot jenis ‘pom pom’.

Bayaran yang dikenakan bagi setiap migran adalah sekitar RM800 HINGGA RM1,800 seorang, yang dibayar secara tunai kepada transporter dan ejen.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan memasuki Malaysia tanpa suatu pas yang sah dan Seksyen 39B Akta Dahah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya.

Operasi berkenaan dilakukan dengan kerjasama bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung, Balai Polis Pantai Remis dan Balai Polis Segari, Manjung, Perak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.