
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perhimpunan Ambang Merdeka 2026 yang dijadualkan berlangsung meriah pada malam 30 Ogos ini di Dataran Merdeka bakal menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
- Pelbagai aktiviti dan persembahan disediakan dari waktu petang sehingga detik kemuncak jam 12 tengah malam.
- Kemuncak acara ialah penyampaian amanat khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Orang ramai, terutama warga Lembah Klang dan kawasan berdekatan, diseru hadir serta memeriahkan program.
- Penganjur bekerjasama dengan penyedia pengangkutan awam untuk melanjutkan waktu operasi memudahkan pergerakan keluarga.
Setiausaha Bahagian, Kolaborasi Strategik, Kementerian Perpaduan Negara, Zaimy Shaari berkata, pengunjung yang hadir bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti serta persembahan menarik yang dijadualkan bermula dari waktu petang hingga ke kemuncak detik 12.00 tengah malam.
Menurut beliau, acara kemuncak merupakan penyampaian amanat khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Seluruh rakyat Malaysia, terutamanya warga Lembah Klang dan kawasan berdekatan, diseru hadir beramai-ramai memeriahkan Program Ambang Merdeka dan Himpunan Amanat Perdana yang akan disampaikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Bagi memudahkan pergerakan orang ramai yang ingin membawa ahli keluarga, Zaimy berkata, pihak penganjur turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam untuk melanjutkan waktu operasi sehingga awal pagi.
“Sambil meraikan detik 31 Ogos sempena Hari Kebangsaan, marilah kita bersama-sama mensyukuri keamanan dan kemakmuran yang dinikmati. Harapan kita agar seluruh rakyat dapat terus bersatu padu memelihara keharmonian ini demi membentuk sebuah negara bangsa yang progresif dan sentosa selamanya,” katanya.