
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal diperkasa dengan penggunaan 375 unit ‘All Terrain Tactical Assault E-Bike’ (ATEB) bagi meningkatkan keupayaan rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara.
- JEBAT F29 akan diagihkan ke negeri bersempadan: Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.
- Perolehan dilaksanakan dua fasa bernilai lebih RM10 juta; fasa pertama 100 unit RM2.388 juta, fasa kedua baki 275 unit.
- PDRM hantar pasukan siasatan ke Islamabad selepas laporan penahanan warga asing; belum dapat pengesahan jumlah rakyat Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata e-bike yang dikenali sebagai JEBAT F29 itu akan diagihkan ke negeri-negeri yang berhampiran kawasan sempadan, termasuk Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.
“Dengan adanya perolehan ataupun penggunaan motosikal ini, penugasan pegawai dan anggota kita di sempadan akan lebih sempurna, dapat dilaksanakan dengan baik dan memastikan sempadan kita sentiasa berada dalam kawalan keselamatan yang sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penerimaan aset tersebut di Bukit Aman hari ini.
Perolehan JEBAT F29 itu dilaksanakan dalam dua fasa dengan nilai keseluruhan lebih RM10 juta.
Fasa pertama membabitkan 100 unit bernilai RM2.388 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Keempat, manakala fasa kedua melibatkan baki 275 unit.
Tan Sri Mohd Khalid berkata, aset berkenaan akan memberi nilai tambah kepada operasi PGA, khususnya dalam menghadapi bentuk muka bumi yang mencabar serta keperluan rondaan yang memerlukan mobiliti lebih fleksibel.
Dalam perkembangan lain, Tan Sri Mohd Khalid turut mengulas laporan media antarabangsa mengenai penahanan 258 warga asing oleh pihak berkuasa Pakistan susulan serbuan ke atas sebuah pusat panggilan yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan di Islamabad.
Beliau berkata PDRM masih belum dapat mengesahkan jumlah rakyat Malaysia yang ditahan, namun pasukan penyiasat telah dihantar ke Islamabad bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.
“Saya belum dapat pastikan jumlah sebenar tapi saya percaya la sebab apabila tangkapan ‘scammer’ ni selalunya jumlah agak besar.
“Masih di peringkat awal untuk saya komen dan kita telah hantar pasukan kita untuk menjalankan siasatan dan insya-Allah pihak JSJK akan memberikan komen lanjut,” katanya.