
SINGAPURA, 19 Ogos – Trafik perkapalan di Selat Hormuz semakin perlahan apabila kebanyakan pemilik kapal mengelak laluan perairan utama itu berikutan ketiadaan isyarat jelas mengenai pembukaan semula laluan berkenaan selepas sekatan susulan perang Iran.
- Kpler laporkan hanya enam kapal komoditi melalui Selat Hormuz pada Selasa, lebih rendah daripada angka hari sebelumnya dan purata 10 hari.
- Trump kata Selat Hormuz terbuka, bercanggah dengan kenyataan Iran bahawa laluan masih ditutup untuk perkapalan.
- Kebimbangan keselamatan bawa syarikat perkapalan besar China mengelak laluan Selat Hormuz dan Bab al-Mandeb sejak akhir Julai.
Data Kpler menunjukkan, hanya enam kapal komoditi melalui selat itu pada Selasa sehingga pukul 10.58 pagi waktu Malaysia (0258 GMT), berbanding sembilan kapal sehari sebelumnya dan jauh lebih rendah daripada purata harian 10 hari sebanyak 11 kapal.
Trafik masuk merangkumi sebuah kapal pengangkut minyak mentah gergasi (VLCC) yang tidak membawa muatan dan melalui bahagian Oman di selat berkenaan, selain dua kapal tangki, masing-masing jenis jarak sederhana dan jarak pertengahan.
Dua kapal tangki bahan api jarak sederhana dan sebuah kapal pasca-Panamax pula keluar dari selat itu.
Pada Selasa, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, tiada rundingan sedang berlangsung dengan Iran dan menegaskan bahawa Selat Hormuz terbuka, bercanggah dengan kenyataan Iran bahawa laluan itu masih ditutup kepada perkapalan.
Sebelum perang tercetus, laluan perairan itu mengendalikan kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Menurut penjejak kapal tangki Vortexa dan seorang broker kapal, ketika kebimbangan mengenai keselamatan mengekang penghantaran minyak ke negara pengimport terbesar dunia, dua syarikat perkapalan gergasi China masih mengelak kapal tangki mereka daripada melalui Selat Hormuz dan Bab al-Mandeb, sejak akhir Julai.
Di Selat Bab al-Mandeb di Laut Merah, tempat kumpulan Houthi Yaman mengisytiharkan sekatan laut terhadap Arab Saudi pada 20 Julai, data Kpler menunjukkan 30 kapal komoditi melaluinya sepanjang hujung minggu – meningkat daripada 19 kapal pada minggu sebelumnya.
Tiada penghantaran minyak Arab Saudi dikesan. -REUTERS