
SAUDARA PENGARANG
- Visibiliti melibatkan keberadaan, prestasi, nilai dan sumbangan yang dapat diukur, difahami dan dirasai oleh rakyat.
- Amalan tadbir urus berintegriti penting; visibiliti tanpa integriti tidak membina kepercayaan.
- Komunikasi strategik menyeluruh perlu: kenal sasaran, pilih saluran tepat, dengar maklum balas dan nilai impak.
Visibiliti atau keterlihatan institusi awam di negara ini bukan lagi suatu pilihan sebaliknya mula menjadi agenda penting yang bukan saja dapat membantu melonjakkan jenama dan reputasi tetapi turut menyumbang kepada peningkatan tahap kepercayaan rakyat.
Prestasi perkhidmatan, tadbir urus dan tatakelola agensi awam sentiasa menjadi perhatian kerana setiap keputusan dan tindakan yang diambil berkait rapat dengan penggunaan dana awam serta kepentingan rakyat.
Dalam erti kata lain, rakyat bukan sahaja mahu mengetahui apa yang dilakukan oleh sesebuah agensi, tetapi juga mahu melihat sejauh mana ia benar-benar memberikan nilai kepada mereka.
Secara prinsipnya, visibiliti institusi awam bukan hanya tentang sejauh mana sesebuah agensi dilihat, tetapi turut membabitkan aspek keberadaan, prestasi, nilai dan sumbangannya yang dapat diukur, difahami dan dirasai oleh rakyat.
Persoalan ringkas yang mungkin kita tertanya-tanya ialah, apa kepentingan visibiliti kepada agensi kerajaan dan bagaimana pula ia boleh membantu memperkukuh
kepercayaan rakyat.
Visibiliti penting kerana ia membolehkan rakyat melihat, memahami dan menilai peranan sesebuah agensi kerajaan dalam kehidupan mereka, khususnya bagaimana ia membantu mempermudahkan atau menyelesaikan pelbagai urusan harian.
Lazimnya setiap agensi akan melaksanakan pelbagai dasar, program dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat, tetapi harus diingat bahawa tanpa komunikasi dan visibiliti yang berkesan, usaha tersebut mungkin tidak diketahui atau difahami oleh kumpulan sasaran yang terlibat.
Dalam konteks ini, visibiliti bukan sekadar soal kekerapan muncul di media, sebaliknya keupayaan sesebuah institusi untuk memastikan keberadaan, peranan, sumbangan dan impaknya dapat dilihat serta difahami oleh masyarakat.
Ringkasnya, apabila rakyat mengetahui apa yang dilakukan oleh kerajaan, memahami rasional sesuatu tindakan dan dapat melihat hasilnya, tahap kesedaran serta keyakinan terhadap institusi awam juga berpotensi untuk meningkat.
Hakikatnya, institusi yang banyak bekerja tetapi kurang berkomunikasi berisiko menjadi institusi yang kurang difahami.
Sebaliknya, apabila usaha dan pencapaian dikomunikasikan secara konsisten, telus dan dekat dengan kepentingan rakyat, visibiliti dapat menjadi jambatan yang menghubungkan kerja kerajaan dengan persepsi masyarakat.
Dalam aspek inilah visibiliti boleh memainkan peranan signifikan dengan membina dan memperkukuh kepercayaan rakyat.
Dalam konteks ini keterlihatan agensi awam boleh dibina berpaksikan beberapa indikator yang signifikan, antaranya ialah berdasarkan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan efisien.
Lazimnya agensi awam menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat dan kayu ukur mudah ialah sejauh mana ia dapat disampaikan tanpa banyak karenah birokrasi sekali gus menyelesaikan urusan harian rakyat dengan segera.
Harus diingat ekspektasi dan harapan pelanggan terhadap mutu serta kualiti perkhidmatan agensi awam sentiasa tinggi dan mahukan yang terbaik.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap agensi untuk sentiasa meneliti budaya dan cara kerja warga kerja selain mengkaji semua proses dan prosedur perkhidmatan yang sedia ada.
Dengan inisiatif seperti ini kita bukan saja mampu memenuhi segala permintaan pelanggan, malah boleh memberikan perkhidmatan di luar jangkaan.
Indikator selanjutnya ialah amalan tadbir urus yang baik yakni tidak terpalit dengan sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa mahupun penyelewengan.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) misalnya sentiasa mendedahkan pelbagai masalah tadbir urus dalam agensi awam dan kita tidak boleh membiarkan ia berterusan.
Hal ini penting kerana visibiliti yang tinggi tanpa integriti tidak akan membantu membina kepercayaan.
Jadi setiap agensi kerajaan perlu mengutamakan amalan tadbir urus yang berintegriti, yakni perlu sentiasa memupuk rasa tanggungjawab dan akauntabiliti dalam kalangan warga kerja yang perlu disedarkan betapa ini adalah amanah rakyat dan negara.
Kepimpinan yang cekap juga boleh membantu meningkatkan visibiliti sesebuah organisasi. Hakikatnya, ekosistem keterlihatan organisasi banyak dipengaruhi keputusan dibuat oleh pihak pengurusan atasan organisasi.
Ironinya, kebijaksanaan pihak pengurusan dalam mengenalpasti kelemahan yang ada, menetapkan kerangka tadbir urus yang mampan, merangka hala tuju yang jelas, menetapkan sasaran yang objektif dan berpaksikan kepentingan awam akan membolehkan rakyat yakin dan percaya dengan organisasi tersebut.
Hubungan yang baik dengan pemegang taruh melalui amalan komunikasi strategik yang menjadi jambatan perhubungan turut akan membantu meningkatkan keterlihatan, imej dan reputasi organisasi di mata khalayak.
Jujurnya agensi kerajaan dilihat sentiasa merangka pelbagai dasar untuk meningkatkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat selain menyediakan perkhidmatan yang mesra rakyat.
Namun antara kelemahan ketara ialah ianya gagal disampaikan dengan jelas dan efisien kepada setiap kumpulan sasaran.
Ini termasuklah hebahan secara berkesan pelbagai kejayaan yang dirai oleh agensi kerajaan.
Justeru setiap agensi kerajaan perlu meningkatkan inisiatif bagi memperkasa aspek komunikasi strategik dengan pemegang taruh supaya semua maklumat terkini dapat disampaikan dalam kaedah yang bersesuaian menggunakan pelbagai platform komunikasi yang ada.
Komunikasi strategik tidak boleh terhad kepada aspek kenyataan media, hantaran di media sosial, atau memberi respon kepada maklum balas pelanggan, sebaliknya perlu mencakupi ekosistem komunikasi secara menyeluruh.
Misalnya, agensi kerajaan perlu mengetahui siapa kumpukan sasaran dan memahami keperluan mereka, memilih dan menentukan mesej yang hendak disampaikan, bijak memilih saluran yang tepat dan bersesuaian mengikut kelompok.
Selain itu, agensi kerajaan juga perlu menyampaikan mesej pada masa yang sesuai, mesti mendengar maklum balas pelanggan baik aduan mahupun cadangan dan akhirnya mengukur impak melalui proses penilaian yang sewajarnya.
Tuntasnya, pemerkasaan visibiliti institusi awam bukan bermaksud mengejar populariti atau memastikan sesebuah agensi sentiasa muncul di ruang media.
Visibiliti yang bermakna ialah apabila kewujudan, peranan, prestasi dan sumbangan sesebuah institusi dapat dilihat serta difahami oleh khalayak yang berkepentingan.
Dalam konteks sektor awam, ukuran akhirnya bukan berapa banyak kandungan diterbitkan, tetapi sejauh mana komunikasi tersebut membantu rakyat memahami perkhidmatan, dasar dan usaha yang dilaksanakan untuk mereka.
Semoga lonjakandalam aspek visibiliti secara berkesan dapat memperkukuh dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap agensi kerajaan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
E-mel: nmohd77@upm.edu.my