
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Malaysia perlu memastikan perkembangan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja memacu kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi, malah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat dan negara.
- MOSTI bertekad bangunkan negara berteknologi tinggi melalui STIE, tadbir urus baik, dasar berkesan dan tenaga kerja berkemahiran.
- Gabungan kecemerlangan teknologi dan inovasi bertanggungjawab diperlukan untuk memanfaatkan potensi AI secara berterusan.
- Peningkatan permintaan pengkomputeran berprestasi dan pusat data menandakan peluang besar bagi ekonomi digital dan AI.
- Infrastruktur sahaja tidak mencukupi; perlu tumpu pembangunan bakat, pengkomersialan inovasi dan peningkatan kualiti hidup rakyat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan Malaysia membangunkan penyelesaian berasaskan AI yang mampu memberi impak di peringkat global, selain memperkukuh ekosistem inovasi berteraskan kepercayaan, kerjasama dan kemakmuran bersama.
Beliau berkata keperluan itu semakin penting ketika teknologi AI berkembang pesat dan terus mengubah landskap industri, ekonomi serta kehidupan seharian.
“Perkara itu selaras dengan misi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membangunkan negara berteknologi tinggi menerusi sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE), disokong tadbir urus yang baik, dasar yang berkesan serta tenaga kerja berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan.
“Dengan menggabungkan kecemerlangan teknologi dan inovasi yang bertanggungjawab, Malaysia mampu memanfaatkan sepenuhnya potensi AI, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang kepada negara,” katanya ketika berucap merasmikan MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (ENTICE) 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, perkembangan pesat AI turut mengubah ekonomi digital global dan meningkatkan permintaan terhadap pengkomputeran berprestasi tinggi serta pusat data berkeupayaan tinggi.
Katanya, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan itu berikutan lokasi strategik, rangkaian digital yang kukuh, persekitaran perniagaan kompetitif serta kumpulan bakat teknologi yang semakin berkembang.
Beliau berkata, menurut Bank Negara Malaysia, lebih RM140 bilion pelaburan berkaitan pusat data dan perkhidmatan awan diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Perkembangan industri pusat data di Malaysia turut mencerminkan peningkatan permintaan terhadap AI, pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital.
Namun, Datuk Chang berkata, pembangunan infrastruktur sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan Malaysia hab AI serantau, sebaliknya, negara perlu memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengekalan bakat masa depan yang mampu memacu inovasi secara beretika dan mampan.
Usaha memperkukuh ekosistem AI itu juga selari dengan agenda kerajaan untuk meningkatkan keupayaan teknologi tempatan, mempercepatkan pengkomersialan inovasi dan memastikan manfaat kemajuan teknologi diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan kualiti hidup rakyat.
MBOT ENTICE 2026 bertemakan “Breakthrough with Purpose in the Age of AI” menghimpunkan golongan profesional teknologi, pemimpin industri, ahli akademik serta pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh kerjasama dan mempercepat inovasi dalam era AI.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Datin Safida Zalma Mohd Piah.