Korban tembakan sekolah Filipina meningkat kepada empat orang

Foto REUTERS

MANILA, 18 Ogos – Angka korban insiden tembakan di Sekolah Tinggi Ateneo de Zamboanga, selatan Filipina meningkat kepada sekurang-kurangnya empat orang, manakala sembilan lagi cedera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek masuk bilik darjah dan melepaskan tembakan ke arah seorang pelajar.
  • Suspek bergerak ke tingkat lima dan dipercayai menembak diri sendiri; rakaman disiarkan langsung di Facebook sebelum dinyahaktifkan.
  • Polis menyiasat motif serta pemilikan dan sumber senjata; ini kejadian tembakan sekolah kedua dalam kira-kira dua bulan.

Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) memaklumkan, mereka yang maut terdiri daripada dua pelajar termasuk suspek serta dua pengawal keselamatan.

Jurucakap polis, Shella Chang berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek pergi ke sebuah bilik darjah sebelum melepaskan tembakan ke arah seorang pelajar.

Selepas kejadian itu, suspek bergerak ke tingkat lima bangunan sekolah sebelum dipercayai menembak dirinya sendiri.

Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Victor Remulla mengesahkan suspek menyiarkan kejadian berkenaan secara langsung di Facebooknya, sebelum akaun media sosial itu kemudian dinyahaktifkan.

Rakaman yang tersebar menerusi media tempatan menunjukkan laras senjata bergerak di sepanjang koridor sebelum dihalakan ke sebuah bilik darjah dan tembakan dilepaskan.

Pelajar yang berada di lokasi kemudian dilihat menjerit dan bergegas menuju ke pintu keluar.

Polis kini menyiasat motif kejadian, selain mengenal pasti pemilikan serta sumber senjata api yang digunakan suspek.

Kejadian itu merupakan insiden tembakan di sekolah yang kedua dilaporkan di Filipina dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Pada Jun lalu, tiga pelajar terbunuh dan kira-kira 20 lagi cedera dalam serangan di sebuah sekolah menengah awam di Tacloban City. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.