SUKMA 2026: Wa Sern, Thanusaa rangkul emas skuasy

Low Wa Sern dan U. Thanusaa/ RTM

PETALING JAYA, 18 Ogos- Low Wa Sern dan U. Thanusaa masing-masing merangkul pingat emas perseorangan lelaki dan wanita skuasy pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wa Sern, 20, tumpaskan wakil tuan rumah M. Nickhileswar 11-6, 11-8, 11-2 pada final.
  • Pemenang emas Sukan SEA 2025 itu mahu menyaingi pemain senior dan terus memperbaiki permainan.
  • Thanusaa, 21, tewaskan K. Sehveetrraa 11-7, 13-11, 11-7; kemenangan terakhir SUKMA selepas cedera pergelangan tangan lebih setahun.

Wa Sern, 20, dari Perak, pemenang emas Sukan SEA 2025 menewaskan wakil tuan rumah, M. Nickhileswar 11-6, 11-8, 11-2 pada aksi final di Kompleks Sukan Astaka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Saya mahu menjadi sehebat pemain senior yang saya kagumi (Joachim Chuah, bekas juara perseorangan lelaki). Saya rasa saya sudah semakin hampir ke tahap itu, tetapi masih banyak yang perlu saya perbaiki. Saya akan terus berusaha untuk mencapainya,” katanya.

Pada edisi Sukan SEA 2025, Wa Sern bersama Harith Danial Jefri memenangi emas acara beregu lelaki.

Sementara itu, Thanusaa menewaskan pemain Kedah, K. Sehveetrraa 11-7, 13-11, 11-7 untuk menghadiahkan emas kepada Melaka.

Kemenangan itu hadir pada penampilan terakhir pemain berusia 21 tahun berkenaan di SUKMA selepas sebelum ini meraih emas beregu wanita dan perak beregu campuran pada SUKMA Sarawak 2024.

“Saya tidak menjangkakan apa-apa (di awal aksi). Tetapi, memandangkan ini SUKMA terakhir saya, saya berikan segala-galanya. Bukan mudah untuk kembali selepas mengalami kecederaan.

“Pergelangan tangan saya mengalami kecederaan lebih setahun dan saya terpaksa berhenti bermain skuasy. Jadi, perjalanan ini memang sangat sukar. Memenangi emas individu SUKMA merupakan satu pencapaian besar buat saya,” katanya.

Thanusaa berkata kejayaan itu meningkatkan keyakinannya untuk memburu tempat dalam skuad podium negara selepas kembali beraksi secara kompetitif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.