
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Cadangan mewujudkan pengawal selia tunggal bagi institusi bukan bank seperti Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sekadar badan pemantau tetapi berpotensi menjadi sistem amaran awal untuk mengesan risiko tadbir urus sebelum menjadi lebih serius.
- Pengawal selia berakses data bersepadu membolehkan gambaran risiko menyeluruh dan pengesanan awal pola serta kelemahan tadbir urus.
- Pendekatan ini berfungsi sebagai sistem amaran awal untuk mengesan kelemahan kawalan dalaman, konflik kepentingan, masalah kecairan dan pelaburan tidak seiring mandat.
- Penubuhan pengawal selia tunggal perlu kerangka pengawasan bersepadu dengan pembahagian kuasa jelas dan pengawasan berasaskan risiko tanpa pemusatan kuasa mutlak.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, ia juga membolehkan pihak pengawal selia mendapat gambaran lebih menyeluruh mengenai kedudukan risiko institusi berkenaan menerusi akses kepada data dan maklumat secara bersepadu.
“Pengawal seliaan yang mempunyai akses kepada data contohnya maklumat secara bersepadu dapat melihat kedudukan risiko setiap institusi secara lebih menyeluruh selain mampu mengenal pasti pola atau kelemahan yang mungkin sukar dikesan sekiranya maklumat berada dalam agensi yang berbeza.
“Pendekatan ini saya lihat sebagai mekanisme atau kita kategorikan sebagai early warning system, pemeriksaan berkala, penilaian risiko, pemantauan kawalan dalaman atau pelaporan berkala yang dilaksanakan secara lebih sistematik,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau berkata kelebihan utama mekanisme berkenaan ialah pengawal selia tidak perlu menunggu sehingga berlaku kerugian, masalah kewangan atau krisis tadbir urus sebelum mengambil tindakan.
Sebaliknya, data yang dikumpulkan secara bersepadu boleh digunakan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal seperti kelemahan kawalan dalaman, konflik kepentingan, masalah kecairan atau keputusan pelaburan yang tidak selari dengan mandat institusi.
Tambah Dr. Umi Hamidaton, pendekatan itu penting bagi TH kerana institusi berkenaan mengurus dana yang melibatkan kepentingan dan kepercayaan orang ramai.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan penubuhan pengawal selia tunggal tidak bermaksud semua kuasa perlu dihimpunkan tanpa batas dalam satu badan.
“Oleh itu sama ada kita sedar atau tidak mekanisme yang lebih sesuai ialah mewujudkan satu kerangka pengawasan bersepadu dengan pembahagian kuasa yang lebih jelas dan juga pengawasan berasaskan risiko,” katanya.