JIM Sabah tahan 64 warga asing di tiga daerah

Imigresen menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing dalam operasi penguatkuasaan di Sabah/Foto JIM Sabah

KOTA KINABALU, 18 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 64 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ops Selera Kota Kinabalu periksa 38 individu, tahan tujuh disyaki kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen sah dan pelanggaran syarat pas.
  • Tangkapan Kota Kinabalu libatkan enam warga Filipina (dua lelaki, empat perempuan) dan seorang lelaki dewasa warga Pakistan.
  • Di Sandakan, 145 diperiksa; 28 ditahan, majoritinya 21 warga Filipina, juga warga Indonesia dan India.
  • Di Tawau, Ops Kutip dan Ops Belanja tahan 29; ramai warga Indonesia, serta beberapa warga Filipina termasuk kanak-kanak.

Ops Selera di Kota Kinabalu memeriksa 38 individu dan menahan tujuh warga asing kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.

JIM Sabah menerusi hantaran di Facebook memaklumkan mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Tangkapan melibatkan enam warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan dewasa serta seorang lelaki dewasa warga Pakistan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Warga asing diperiksa dalam operasi penguatkuasaan imigresen di salah satu lokasi di Sabah/JIM Sabah

Di Sandakan pula, imigresen telah menahan 28 warga asing selepas pemeriksaan 145 individu.

Tangkapan membabitkan 21 warga Filipina terdiri daripada 13 lelaki dan lapan perempuan dewasa, empat warga Indonesia terdiri daripada seorang lelaki, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki serta tiga lelaki dewasa warga India.

Sementara itu, di Tawau, seramai 29 warga asing ditahan dalam Ops Kutip dan Ops Belanja.

Daripada jumlah itu, lima adalah warga Filipina terdiri daripada empat lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Manakala 24 lagi warga Indonesia membabitkan 11 lelaki dan enam perempuan dewasa serta empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.