Shetty cipta kejutan, singkir pemain nombor satu dunia

Bintang meningkat naik dari India, Ayush Shetty menyingkirkan juara bertahan dari China, Shi Yu Qi menerusi kemenangan 21-14, 13-21, 21-19

NEW DELHI, 18 Ogos Juara bertahan, Shi Yu Qi tersingkir mengejut pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia selepas tewas kepada bintang meningkat naik dari India, Ayush Shetty, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ayush Shetty, pemain ranking ke-22 berusia 21, mencipta kejutan menyingkirkan juara dunia Shi Yuqi pada pusingan pertama di New Delhi.
  • Dengan ketinggian 1.95 meter, Shetty manfaatkan jangkauan luas dan pukulan smash kemas untuk mengatasi lawan veterannya.
  • An Se-young kembali dari kecederaan mara pusingan kedua, manakala P.V. Sindhu teruskan prestasi cemerlang selepas menjuarai Terbuka Jepun.

Pemain nombor satu dunia dari China itu tewas 14-21, 21-13, 19-21 dalam tempoh satu jam 13 minit kepada Shetty, 21, yang memukau penonton tuan rumah di Stadium Tertutup Indira Gandhi.

Shi, 30, yang menjuarai edisi di Paris tahun lalu kelihatan bergelut sejak awal apabila Shetty memecut untuk mendahului 11-5 sebelum memenangi set pertama.

Shi bangkit untuk memenangi set kedua, namun Shetty, pemain ranking ke-22 dunia, kekal tenang dalam set penentuan yang sengit pada penampilan sulungnya di pentas badminton berprestij itu.

Dengan ketinggian 1.95 meter, Shetty memanfaatkan jangkauan luas dan pukulan ‘smash’ yang kemas untuk mengatasi lawan veterannya dari China.

Meskipun Shi cuba melakukan kebangkitan pada penghujung perlawanan dengan merapatkan kedudukan daripada 7-17 kepada 15-18, Shetty akhirnya muncul pemenang.

Sebelum itu, pemain nombor satu wanita Korea Selatan, An Se-young mara ke pusingan kedua dengan kemenangan selesa selepas kembali daripada kecederaan.

An, pemain ranking teratas dunia yang beraksi dalam perlawanan pertamanya selepas menarik diri pada pusingan kedua Terbuka Jepun bulan lalu akibat masalah kaki, menewaskan wakil Bulgaria, Kaloyana Nalbantova, 21-14, 21-13 dalam tempoh 41 minit.

Dia mengambil sedikit masa untuk mendapatkan rentak pada set pembukaan, namun tidak lama kemudian meningkatkan momentum untuk mengawal permainan dalam perlawanan kompetitif pertamanya selepas kira-kira sebulan.

An kini memburu gelaran dunia keduanya selepas menjuarai kejohanan berkenaan pada 2023 di Copenhagen.

Bintang India, P.V. Sindhu pula menewaskan wakil Ireland, Sophia Noble, 21-7, 21-11 untuk meneruskan prestasi cemerlangnya selepas menjuarai Terbuka Jepun, bulan lalu. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.