‘Lindung 24 Jam’ dilaksana berperingkat, caruman maksimum 1.25 peratus

Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang bercakap dalam sidang media selepas Sesi Literasi Media Bersama Pengarang dan Wartawan dan Pengumuman Anugerah Media PERKESO i-Lindung 2026./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam PERKESO dibuat secara berperingkat dengan kadar caruman bermula 0.75 peratus dan meningkat kepada maksimum 1.25 peratus pada tahun keenam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan bukan dilakukan secara mengejut; melalui perbincangan sejak 2017 dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Disember lalu.
  • Faedah penggantian pendapatan dinaikkan daripada 48 peratus kepada sehingga 80 peratus.
  • Faedah perubatan dan pemulihan kekal tanpa had bagi pekerja mengalami kecederaan serius dan memerlukan rawatan jangka panjang.
  • Pekerja perlu nilaikan insurans persendirian sebelum memilih keluar; memilih keluar dibuka hingga 31 Ogos dan boleh menyertai semula.

Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang, berkata pelaksanaan skim itu bukan dibuat secara mengejut, sebaliknya melalui proses perbincangan sejak 2017 sebelum diluluskan Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu.

“Kadar itu akan dinaikkan kepada 1.25 peratus pada tahun keenam, selaras dengan peningkatan faedah penggantian pendapatan daripada 48 peratus ketika ini kepada sehingga 80 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Literasi Media Bersama Pengarang dan Wartawan serta pengumuman Anugerah Media PERKESO i-Lindung 2026, hari ini.

Menurutnya, pendekatan berperingkat itu turut membolehkan faedah perubatan dan pemulihan kekal tanpa had, khususnya bagi pekerja yang mengalami kecederaan serius dan memerlukan rawatan dalam tempoh panjang.

Beliau berkata pekerja juga perlu menilai perlindungan sedia ada seperti insurans kemalangan diri atau kad perubatan sebelum membuat keputusan untuk memilih keluar daripada skim berkenaan.

“Jumlah perlindungan insurans persendirian yang rendah mungkin tidak mencukupi untuk menampung kehilangan pendapatan dalam jangka panjang, berbanding perlindungan Lindung 24 Jam yang boleh memberi faedah kepada pekerja dan tanggungan mengikut kelayakan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pekerja yang telah memilih untuk keluar masih boleh menyertai semula skim berkenaan.

Tempoh untuk memilih keluar daripada Lindung 24 Jam ditetapkan sehingga 31 Ogos ini, manakala PERKESO akan mengumumkan prestasi penyertaan skim berkenaan selepas tempoh itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.