
IPOH, 17 Ogos – Seramai 174 peserta menyertai Program Amal Konvoi Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ipoh Superbiker’s Club (ISBC) yang diadakan sempena Sambutan Hari
Kemerdekaan ke-69 dan Sambutan Hari Polis ke-219.
- Konvoi menempuh 1,956 kilometer merentasi 12 kontinjen, berakhir di Kuala Lumpur pada 21 Ogos.
- Konvoi membawa misi kebajikan, menyantuni keluarga warga polis dan rumah kebajikan sepanjang laluan.
- Program menerima sumbangan sekitar RM102,000 daripada 53 penaja bagi aktiviti kebajikan.
Penganjuran siri keempat itu melibatkan perjalanan sejauh 1,956 kilometer dengan merentasi 12 kontinjen sebelum berakhir di Kuala Lumpur pada 21 Ogos ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, selain mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat menerusi aktiviti permotoran, konvoi tersebut turut membawa misi kebajikan dengan menyantuni keluarga warga polis yang memerlukan serta rumah kebajikan sepanjang laluan tersebut.
“Jadi, aktiviti bermotosikal ini, sebenarnya mempunyai beberapa tujuan seperti yang dinyatakan tadi. Selain beriadah bersama masyarakat, kita juga tidak melupakan mereka yang memerlukan.
“Kita sentiasa menerapkan prinsip dan nilai-nilai kepolisan, selain memastikan polis dan masyarakat sentiasa bersama serta tidak terpisah,” katanya pada sidang media di MES Pegawai Kanan Polis Perak di sini.
Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Perak, Mohammad Azlin Sadari.
Secara keseluruhan, kira-kira 53 penaja menyumbang kepada penganjuran konvoi berkenaan, dengan nilai sumbangan bagi aktiviti kebajikan mencecah RM102,000.