
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Kesemua juruterbang aktif Malaysia Airlines disahkan negatif dalam saringan dadah mandatori yang selesai dilaksanakan pada 15 Ogos lalu.
- Penyelesaian fasa pertama dipandang pencapaian penting bagi memperkukuh langkah keselamatan dan kecergasan bertugas.
- Saringan diteruskan kepada kumpulan operasi lain untuk memastikan piawaian keselamatan konsisten di semua syarikat bawah MAG.
- Fasa seterusnya membabitkan kira-kira 2,840 kru kabin, saringan bermula 18 Ogos dan disasarkan selesai 3 September.
- Saringan turut dilaksanakan terhadap juruterbang dan kru kabin Firefly; lebih separuh telah disaring dan semua didapati negatif.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, penyelesaian fasa pertama itu merupakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh langkah keselamatan dan memastikan kecergasan bertugas dalam operasi kumpulan berkenaan.
Beliau berkata, saringan akan diteruskan terhadap kumpulan operasi lain bagi memastikan piawaian keselamatan yang sama dilaksanakan secara konsisten di semua syarikat penerbangan di bawah MAG.
”Fasa seterusnya membabitkan kira-kira 2,840 kru kabin Malaysia Airlines yang akan mula menjalani saringan pada 18 Ogos dan disasarkan selesai pada 3 September ini.
”Dalam pada itu, saringan turut dilaksanakan terhadap juruterbang dan kru kabin syarikat penerbangan Firefly,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya lagi, lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly telah menjalani saringan setakat 15 Ogos lalu, dengan kesemuanya didapari negatif.
Firefly dijangka melengkapkan saringan terhadap baki juruterbang dan kru kabin menjelang 25 Ogos, lebih awal daripada tarikh akhir 5 September yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
MAG berkata, kumpulan itu akan meneruskan program ujian rawak secara berterusan yang dikendalikan pasukan Keselamatan dan Kesihatan, selain memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencegah serta membanteras penyalahgunaan bahan terlarang.
”Langkah itu melengkapi rangka kerja kecergasan bertugas sedia ada yang merangkumi saringan pra-pekerjaan, pensijilan perubatan, latihan berkala, ujian alkohol dan dadah secara berkala, pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan serta penilaian kecergasan kru,” jelas kenyataan itu.