Myanmar sahkan hampir 309,000 Rohingya layak kembali ke Rakhine

Pandangan udara menunjukkan kem pelarian Rohingya Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh yang merupakan penempatan pelarian terbesar di dunia../ ZUMA Press Wire

ISLAMABAD, 17 Ogos – Myanmar buat pertama kali mengakui hampir 309,000 pelarian Rohingya di Bangladesh sebagai bekas penduduk negeri Rakhine, dengan menyatakan mereka dibenarkan kembali selepas keadaan keselamatan di wilayah bergolak itu bertambah baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Myanmar mengiktiraf hampir 309,000 pelarian Rohingya di Bangladesh sebagai bekas penduduk Rakhine.
  • Kementerian menyatakan mereka akan diterima kembali apabila keadaan keselamatan di Rakhine menjadi lebih stabil.
  • Percubaan pemulangan sebelum ini gagal akibat kebimbangan mengenai keselamatan, kewarganegaraan dan hak asasi.
  • Bangladesh mahukan pemulangan sukarela, selamat dan mampan; pelarian menuntut jaminan kewarganegaraan, keselamatan dan hak asasi.

Kementerian Luar Myanmar berkata seramai 308,975 orang yang dipindahkan telah disahkan sebagai bekas penduduk Rakhine, perkembangan yang dianggap penting dalam usaha berpanjangan untuk menghantar pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh.

“Myanmar akan menerima mereka yang dipindahkan dan telah disahkan sebagai bekas penduduk Rakhine apabila keadaan keselamatan di negeri itu menjadi lebih stabil,” menurut kementerian tersebut.

Beberapa percubaan Bangladesh dan Myanmar untuk memulakan proses penghantaran pulang sebelum ini gagal, dengan tiada kepulangan secara besar-besaran berlaku berikutan kebimbangan mengenai keselamatan, kewarganegaraan dan hak asasi.

Proses itu turut menjadi semakin rumit susulan pertempuran antara tentera Myanmar dan Arakan Army, yang telah menguasai sebahagian besar Rakhine.

Bangladesh menegaskan bahawa proses penghantaran pulang mesti dilakukan secara sukarela, selamat dan mampan, manakala pelarian Rohingya menuntut jaminan kewarganegaraan, keselamatan serta hak asasi sebelum kembali ke Myanmar. – BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.