
KUALA PERLIS, 17 Ogos – Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bukan sekadar platform mengetengahkan hasil kemahiran dan kreativiti masyarakat, malah turut berperanan memperkasa individu menerusi ilmu, kemahiran dan keupayaan berdikari serta membina masa hadapan lebih baik.
- Kemahiran aset penting untuk daya saing dan membuka peluang ekonomi.
- Gabungkan kreativiti, teknologi dan inovasi agar produk menembusi pasaran luas termasuk digital.
- Usaha memperkasa turut fokus keusahawanan, pendigitalan, pemasaran dan penciptaan nilai.
- Program Quick Win serahkan peralatan bernilai RM40,000 kepada 10 penerima bagi mulakan perniagaan selepas latihan.
Menurut Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, kemahiran merupakan aset penting, selain menjadi daya saing dan ruang yang luas untuk mencipta peluang.
Katanya, individu berkemahiran perlu melangkah lebih jauh dengan menggabungkan kreativiti, teknologi dan inovasi agar produk serta perkhidmatan yang dihasilkan mampu menembusi pasaran lebih luas termasuk pasaran digital.
Usaha memperkasa kemahiran tidak hanya tertumpu kepada penguasaan sesuatu kemahiran, tetapi perlu diteruskan kepada aspek keusahawanan, pendigitalan, pemasaran dan penciptaan nilai.
“Bidang latihan ini sangat luas dan alhamdulillah, di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kita mempunyai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Majlis TVET Negara yang turut memberikan penekanan kepada kemahiran insaniah, peningkatan kemahiran (upskilling) serta latihan semula (reskilling).
Itulah yang menjadi keutamaan kita. Kita mahu melahirkan masyarakat dan anak bangsa yang berdaya saing serta mampu bersaing bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya kepada media pada perasmian penutup Hari Kemahiran KEMAS Peringkat Negeri Perlis di sini.
Pada majlis sama, pelbagai peralatan menerusi ‘Program Quick Win’ bernilai RM40,000 turut diserahkan kepada 10 penerima bagi membantu memulakan perniagaan serta menjana pendapatan sebaik tamat latihan yang disediakan KEMAS.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi KEMAS, Mohd Zamri Mustajap, Ketua Penolong Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Dr. Shamsulbaha Abdul Rani serta Pengarah KEMAS Negeri Perlis, Mohamad Zaki Ismail.