Pilihan Raya Zambia: Hichilema mendahului dengan lebih 1.5 juta undi

Foto fail: Presiden Zambia, Hakainde Hichilema, ketika pelancaran kempen pilihan raya partinya di Lusaka, Zambia, pada 28 Jun 2026./ REUTERS

LUSAKA, 17 Ogos – Presiden Zambia Hakainde Hichilema mendahului dalam Pilihan Raya Presiden negara itu pada Ahad selepas meraih lebih 1.5 juta undi membabitkan 135 daripada 226 kawasan pilihan raya yang telah dikira, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Hichilema, calon UPND untuk penggal kedua, berpeluang mengukuhkan pencapaian pentadbiran termasuk penstrukturan semula hutang dan pemulihan sektor perlombongan.
  • Pencabar Brian Mundubile dan gabungan pembangkang memenangi beberapa kerusi Parlimen terutama di kawasan bandar Lusaka dan Copperbelt.
  • Menurut Perlembagaan Zambia, calon presiden mesti peroleh lebih 50 peratus undi sah; jika tidak, pusingan penentuan diadakan.

Hichilema, 64, yang bertanding untuk penggal kedua atas tiket parti pemerintah United Party for National Development (UPND), setakat ini memperoleh 1,544,140 undi.

Pencabar terdekatnya dalam kalangan 12 calon lain, Brian Mundubile daripada National Reconciliation Party for Unity and Prosperity (NRPUP), memperoleh 1,030,662 undi.

Keputusan terkumpul itu diumumkan di Pusat Keputusan Pilihan Raya Kebangsaan di ibu negara Lusaka kira-kira 9.30 malam GMT oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Zambia (ECZ) Mwangala Zaloumis.

Bagi Hichilema, seorang ahli ekonomi dan penternak, penggal kedua akan memberi peluang kepadanya untuk mengukuhkan pencapaian sepanjang penggal pertama yang bermula pada 2021 selepas meraih kemenangan besar dengan menewaskan Edgar Lungu dengan majoriti lebih sejuta undi.

Antara pencapaian yang diketengahkan beliau ialah penstrukturan semula hutang negara yang tinggi, pemulihan sektor perlombongan serta peningkatan sokongan sektor sosial menerusi program seperti pendidikan percuma untuk murid sekolah rendah dan menengah awam.

Mundubile, 55, seorang peguam, pula menyaksikan gabungan pembangkang yang disertainya turut memenangi beberapa kerusi Parlimen, khususnya di kawasan pilihan raya sepanjang koridor bandar Zambia yang merentasi Lusaka dan Copperbelt.

Menurut Perlembagaan Zambia, calon presiden perlu memperoleh lebih 50 peratus undi sah untuk diisytiharkan sebagai Presiden.

Sekiranya tiada calon mencapai ambang itu pada pusingan pertama, pusingan penentuan akan diadakan antara calon yang mendahului. – BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.