Sabah FA Wanita sedia gegar pentas Asia di AWCL

Foto FB Sabah Football Association Women’s Team

KOTA KINABALU, 16 Ogos — Pasukan Wanita Sabah FA mahu membuktikan kemampuan bersaing di pentas Asia apabila kembali mengharungi saingan Pusingan Awal AFC Women’s Champions League (AWCL) 2026/2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan berjalan lancar melalui perlawanan persahabatan serta penambahbaikan keserasian dan semangat berpasukan.
  • Bobby: pemain berada dalam kondisi baik; ketiadaan beberapa pemain akibat SUKMA bukan alasan, gabungan tempatan dan import mantap.
  • Kapten Steffi menegaskan fokus perlawanan demi perlawanan, mental dan fizikal sudah bersedia untuk memberi yang terbaik.

Persiapan pasukan berjalan lancar menerusi beberapa perlawanan persahabatan, selain usaha memperkukuh keserasian dan semangat berpasukan dalam kalangan pemain.

Ketua Jurulatih Wanita Sabah FA, Bobby Gonzales, berkata setiap pemain kini berada dalam kondisi baik dan bersedia memberikan aksi terbaik dalam saingan Pusingan Awal berkenaan.

“Untuk persediaan kita pada perlawanan AFC kali ini, sebelum ini kita ada buat beberapa perlawanan persahabatan dan dalam masa yang sama kita ada buat penambahbaikan dari segi keserasian dalam pasukan.

“Jadi, setiap pemain berada dalam kondisi yang agak baik dan bersemangat,” katanya pada Sidang Media Pra Perlawanan bagi Pusingan Awal AFC Women’s Champions League (AWCL) 2026/2027 yang akan berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos ini di Stadium Likas.

Bobby berkata, Sabah FA turut berdepan cabaran apabila 11 pemainnya terlibat dalam saingan Sukan Malaysia (SUKMA).

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak akan dijadikan alasan dan yakin pasukannya mampu memberikan persembahan terbaik menerusi gabungan pemain tempatan dan import.

Sementara itu, Kapten Pasukan Wanita Sabah FA, Steffi Sarge Kaur, berkata barisan pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kembali beraksi di pentas AFC.

Menurutnya, pasukan kini tidak terlalu memikirkan sasaran jangka panjang, sebaliknya memberi fokus sepenuhnya kepada setiap perlawanan.

“Sudah semestinya kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Kami sebenarnya memang teruja untuk bermain lagi di kancah AFC ini dan kami harap dapat memberikan yang terbaik.

“Kami akan fokus perlawanan demi perlawanan. Yang penting, fokus pada perlawanan pertama dahulu. Selepas itu, kami akan fikir langkah seterusnya,” katanya.

Ini merupakan penampilan kedua Pasukan Wanita Sabah FA dalam saingan AWCL selepas kali terakhir beraksi di peringkat kumpulan kejohanan berkenaan pada edisi 2024/2025.

Aksi menentang Rovers FC pada 17 Ogos akan menjadi ujian pertama buat Sabah FA sebelum meneruskan saingan menentang Rajshahi Stars FC dari Bangladesh pada 20 Ogos dan East Bengal FC dari India pada 23 Ogos.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.