
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ekonomi Malaysia dijangka terus mencatat prestasi memberangsangkan pada separuh kedua tahun ini, selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 6.0 peratus pada suku kedua, mengatasi jangkaan.
- Momentum pertumbuhan dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2026 berdasarkan analisis CGS International.
- Pertumbuhan disokong perkembangan teknologi global serta sektor minyak dan gas dan perkhidmatan, khususnya subsektor komunikasi.
- Tiada petunjuk kukuh bahawa momentum pertumbuhan akan melemah, memberi keyakinan berterusan untuk separuh kedua.
- Bank Negara mengesahkan ekonomi suku kedua berkembang, mencerminkan daya tahan domestik dan sokongan sektor utama.
Ketua Penyelidikan Ekonomi CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Ahmad Nazmi Idrus berkata, prestasi itu menunjukkan Malaysia terus mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi global, disokong sektor minyak dan gas ( O&G) serta perkhidmatan, khususnya subsektor komunikasi.
Beliau berkata, setakat ini belum ada petunjuk kukuh yang menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi akan melemah pada separuh kedua, sekali gus memberi keyakinan bahawa prestasi positif KDNK mampu diteruskan.
“Bagi pihak kami, belum ada lagi sebab kukuh yang menunjukkan momentum yang kita lihat sekarang ini akan melemah.
“Jadi, besar kemungkinan pada separuh kedua kita akan terus lihat perkembangan ekonomi yang memberangsangkan,” katanya dalam hantaran videonya kepada RTM.
Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Ekonomi negara berkembang 6 peratus untuk suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama.
Prestasi itu turut mengatasi pertumbuhan 4.4 peratus pada suku sama tahun lalu.
Ia sekali gus mencerminkan daya tahan ekonomi domestik dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global, dengan sektor utama terus menyokong aktiviti ekonomi negara.