SUKMA: Selangor raih emas acara bola tampar pantai wanita

Rachael dan Goh Yu Heng gembira meraih emas acara bola tampar pantai wanita SUKMA / Foto RTM

SHAH ALAM, 15 Ogos – Gandingan adik-beradik Selangor, Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng meraih emas acara bola tampar pantai wanita Sukan Malaysia (SUKMA) selepas menewaskan wakil Pulau Pinang dalam aksi final.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangkit selepas tewas 16-21, menang 21-17 dan 15-11 untuk mengesahkan pingat emas.
  • Pendekatan tenang membantu mereka bermain rileks tanpa tekanan, sekali gus meningkatkan persembahan.
  • Sarawak tewaskan Perak 21-12, 21-13 untuk meraih pingat gangsa wanita.
  • Pasangan Perak Yong Xuan dan Low Jeng Yih raih emas lelaki, menewaskan Terengganu 21-15, 21-14; Terengganu raih gangsa.

Beraksi di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA Seksyen 19, pasangan tuan rumah itu tewas 16-21 pada set pertama sebelum bangkit menguasai set kedua 21-17.

Rachael, 19 dan Yu Heng, 16 kemudian mengekalkan momentum pada set penentuan untuk menang 15-11 sekali gus mengesahkan pingat emas.

Yu Heng berkata, pendekatan lebih tenang membantu mereka memberikan persembahan lebih baik dalam perlawanan akhir.

“Permainan kami sangat baik dan kami cuba bermain dengan rileks serta tanpa tekanan.

“Kalau bermain dalam keadaan tertekan, kami sukar untuk memberikan persembahan terbaik.

“Jadi kami hanya cuba bermain dengan tenang dan akhirnya dapat beraksi dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Dalam perebutan pingat gangsa wanita, Sarawak menewaskan Perak 21-12, 21-13.

Sementara itu, pasangan Perak, Yong Xuan-Low Jeng Yih meraih emas acara lelaki selepas menewaskan wakil Terengganu, Noraiman Shah-Isma Haziq 21-15, 21-14 pada final.

Terengganu turut meraih gangsa selepas menewaskan Selangor 28-30, 21-15, 15-1.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.