
SAUDARA PENGARANG
- Perkenalkan akal maslahat: berfikir melebihi boleh/tidak, menilai manfaat dan kesan jangka panjang menurut panduan wahyu dan nilai.
- Elakkan kemudaratan: jangan berkongsi, mendedahkan aib atau menuntut hak sehingga mengabaikan keselesaan, maruah dan keselamatan orang lain.
- Latih lima pertanyaan sebelum bertindak: benar, perlu, siapa mendapat manfaat, kemungkinan mudarat, dan implikasi jika semua berbuat sama.
Kita hidup pada zaman manusia semakin pantas memperoleh maklumat, tetapi tidak semestinya semakin bijaksana membuat pertimbangan. Teknologi membolehkan sesuatu peristiwa dirakam, dikongsi dan diperdebatkan dalam beberapa saat.
Namun, di sebalik kemajuan itu, semakin banyak tindakan yang menimbulkan pertanyaan mudah, di manakah hilangnya common sense?
Apabila berlaku kemalangan, ada yang lebih dahulu mengeluarkan telefon untuk merakam daripada menghulurkan bantuan. Berita yang belum dipastikan kebenarannya segera dikongsi kerana mahu menjadi orang terawal menyebarkannya.
Aib dan kesusahan orang lain pula kadangkala dijadikan bahan hiburan atau kandungan untuk meraih perhatian. Di jalan raya dan tempat awam, kepentingan sendiri didahulukan walaupun tindakan tersebut menyusahkan ramai pihak.
Dalam suasana kejiranan pula, cukup banyak pengalaman umum yang berkait dengan masalah common sense ini. Perbuatan membiarkan haiwan peliharaan sehingga mengakibatkan kerosakkan tanaman jiran dan menyakiti orang awam.
Bunyi kenderaan yang mengganggu ketenteraman jiran khususnya di waktu kebanyakan orang sedang rehat. Tidak menguruskan sampah peribadi dengan betul sehingga mengganggu keselesaan jiran.
Perbuatan seperti ini mungkin kelihatan kecil apabila dinilai secara berasingan. Namun, apabila semakin kerap berlaku, ia menunjukkan masalah yang lebih mendasar, iaitu kelemahan dalam membuat pertimbangan yang wajar.
Lebih Sekadar Akal Cerdas
Istilah common sense lazimnya merujuk kepada pertimbangan asas yang munasabah dalam kehidupan seharian. Dalam bahasa yang lebih dekat dengan kita, ia boleh difahami sebagai akal sihat atau akal sejahtera.
Ia bukan semata-mata ukuran kecerdasan akademik, sebaliknya kemampuan memahami keadaan, menjangka akibat dan membezakan antara perkara yang boleh dilakukan dengan perkara yang wajar dilakukan.
Seseorang mungkin memiliki pendidikan yang tinggi dan akses kepada pelbagai maklumat, tetapi masih membuat keputusan yang kurang wajar. Hal ini berlaku apabila pertimbangannya dikuasai oleh emosi, kepentingan diri, tekanan kelompok atau keinginan mendapatkan perhatian.
Tidak semua perkara yang boleh dilakukan perlu dilakukan. Tidak semua perkara yang benar mesti disampaikan pada setiap masa dan dengan apa-apa cara. Tidak semua hak mesti dituntut sehingga mengabaikan hak orang lain. Di sinilah letaknya kepentingan kebijaksanaan dalam menggunakan akal.
Namun, seruan supaya masyarakat menggunakan common sense sahaja mungkin belum mencukupi. Apa yang dianggap munasabah oleh seseorang boleh dipengaruhi oleh pengalaman, kepentingan dan latar belakangnya.
Akal manusia memerlukan panduan nilai agar sesuatu pertimbangan tidak hanya menguntungkan diri sendiri. Islam menyediakan panduan tersebut melalui prinsip maslahat.
Memahami Akal Maslahat
Maslahat merujuk kepada kebaikan dan manfaat sebenar yang selari dengan tujuan syariat. Ia juga melibatkan usaha mencegah kemudaratan terhadap agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan kehormatan manusia.
Berdasarkan pengertian ini, kita boleh memperkenalkan ungkapan ‘akal maslahat’ sebagai suatu cara berfikir yang tidak berhenti pada pertanyaan sama ada sesuatu tindakan itu boleh dilakukan.
Akal maslahat turut bertanya: Adakah tindakan ini benar-benar wajar? Siapakah yang mendapat manfaat? Adakah orang lain akan menerima kesannya? Apakah akibatnya dalam jangka panjang?
Akal maslahat bukan istilah untuk menghalalkan apa sahaja atas nama manfaat. Sesuatu yang mendatangkan keuntungan kepada individu belum tentu menjadi maslahat kepada masyarakat. Begitu juga sesuatu yang disukai ramai tidak semestinya baik jika bertentangan dengan nilai agama, merosakkan akhlak atau menafikan hak pihak lain.
Maslahat yang sebenar perlu dipandu oleh wahyu, ilmu dan pertimbangan terhadap kesan sesuatu tindakan. Ringkasnya, ia ialah kebaikan yang dicapai melalui cara yang benar tanpa menghasilkan kerosakan yang lebih besar.
Jangan Memberi dan Membalas Mudarat
Antara panduan penting dalam Islam ialah sabda Rasulullah SAW:
“Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.” – Riwayat Ibn Majah
Hadis ini melahirkan satu prinsip besar dalam kehidupan, iaitu kemudaratan hendaklah dicegah dan dihilangkan. Dalam hubungan sesama manusia, kita bukan sahaja dilarang melakukan kezaliman yang besar, malah dituntut mengelakkan perbuatan yang menyusahkan, memalukan atau membahayakan orang lain.
Prinsip ini sangat dekat dengan kehidupan seharian. Meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan mungkin dianggap perkara kecil oleh pelakunya, tetapi boleh menyukarkan orang yang sedang menghadapi kecemasan.
Menularkan rakaman seseorang mungkin dianggap hiburan, tetapi boleh merosakkan maruah dan kesihatan emosinya. Menyebarkan berita tanpa semakan pula mungkin hanya mengambil masa beberapa saat, tetapi kesan fitnahnya boleh berpanjangan.
Dalam semua keadaan ini, akal maslahat mengajar kita supaya tidak menilai tindakan daripada sudut niat dan kepentingan sendiri sahaja. Kita juga perlu memikirkan pengalaman orang yang menerima kesannya.
Kebebasan dan Tanggungjawab
Krisis common sense turut muncul apabila kebebasan difahami tanpa tanggungjawab. Ada yang mempertahankan tutur kata yang kasar dengan alasan sedang menyatakan kebenaran. Ada pula yang menganggap semua perkara boleh dikongsi kerana maklumat tersebut telah berada di ruang terbuka.
Islam tidak memisahkan hak bersuara daripada tanggungjawab menjaga kehormatan manusia. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Hadis ini mengajar bahawa sebelum berbicara atau menulis, kita tidak hanya bertanya sama ada maklumat itu benar. Kita juga perlu bertanya sama ada ia baik, perlu, sesuai dan disampaikan dengan cara yang beradab.
Kebenaran tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghina. Nasihat tidak perlu bertukar menjadi pendedahan aib. Perbezaan pandangan pula tidak seharusnya menyebabkan seseorang kehilangan adab dan berlaku tidak adil terhadap pihak yang tidak dipersetujuinya.
Dalam dunia digital, menekan butang ‘kongsi’ juga merupakan satu tindakan moral. Setiap perkongsian mempunyai kesan. Sebab itulah al-Quran mengajar prinsip tabayyun, iaitu menyemak berita sebelum menerima dan bertindak berdasarkan sesuatu maklumat.
Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Hujurat ayat 6 supaya sesuatu berita diteliti agar kita tidak menimpakan keburukan kepada orang lain kerana kejahilan, lalu akhirnya menyesali perbuatan tersebut.
Mengapa Pertimbangan Semakin Lemah?
Antara punca utama kelemahan pertimbangan ialah kecenderungan melihat sesuatu hanya daripada sudut diri sendiri. Persoalan ‘Apakah yang saya mahu?’ mengatasi persoalan ‘Apakah kesannya kepada orang lain?’
Budaya mengejar perhatian turut mempengaruhi cara manusia bertindak. Dalam keadaan tertentu, nilai sesuatu kandungan diukur berdasarkan jumlah tontonan dan perkongsian, bukan manfaat atau mudaratnya.
Peristiwa sedih, perselisihan keluarga dan kelemahan individu boleh bertukar menjadi bahan tontonan umum.
Selain itu, kepantasan media sosial membentuk budaya bertindak sebelum berfikir. Masyarakat mudah memberikan hukuman berdasarkan tajuk sensasi, gambar atau rakaman pendek tanpa mengetahui keseluruhan konteks. Emosi seperti marah dan simpati boleh dimanipulasi sehingga seseorang menyebarkan tuduhan yang belum dibuktikan.
Masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan mengecam generasi atau kelompok tertentu. Ia merupakan cabaran bersama yang memerlukan pendidikan, teladan dan disiplin diri. Setiap orang berpotensi tersilap apabila emosi mendahului ilmu dan keinginan mendapatkan perhatian mengatasi pertimbangan moral.
Lima Pertanyaan Sebelum Bertindak
Akal maslahat boleh dilatih melalui beberapa pertanyaan mudah sebelum kita berkata, menulis, berkongsi atau mengambil sesuatu tindakan.
Pertama, adakah perkara ini benar dan dibenarkan? Niat yang baik tidak menjadikan semua cara boleh diterima.
Kedua, adakah perkara ini benar-benar perlu? Banyak pertelingkahan tercetus bukan kerana maklumat yang disampaikan itu palsu, tetapi kerana ia didedahkan pada waktu, tempat dan cara yang tidak sesuai.
Ketiga, siapakah yang mendapat manfaat? Jika manfaatnya hanya untuk kepuasan diri sedangkan orang lain menanggung kesannya, tindakan tersebut perlu dinilai semula.
Keempat, apakah kemungkinan mudaratnya? Kita mungkin tidak mampu menjangka setiap kesan, tetapi sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan risiko yang munasabah.
Kelima, apakah yang akan berlaku jika semua orang bertindak dengan cara yang sama? Soalan ini membantu kita melihat tindakan peribadi daripada sudut kepentingan bersama.
Jika semua orang memotong barisan, menghalang laluan, menyebarkan berita tanpa semakan atau membuka aib orang lain, kehidupan bermasyarakat akan kehilangan ketertiban dan kepercayaan.
Membina Masyarakat Berakal Maslahat
Masyarakat tidak hanya memerlukan lebih ramai manusia pintar, tetapi juga manusia yang tahu menggunakan kepintaran pada jalan yang benar. Ilmu tanpa adab boleh melahirkan kesombongan. Kebebasan tanpa tanggungjawab boleh mengganggu keharmonian. Teknologi tanpa kebijaksanaan pula boleh mempercepat penyebaran fitnah dan kemudaratan.
Menghidupkan akal maslahat bermula dengan perkara kecil: Memberi laluan kepada yang memerlukan, menahan diri daripada menyebarkan berita yang belum pasti, menjaga aib orang lain dan memikirkan kesan kata-kata sebelum mengucapkannya. Ia juga menuntut empati, iaitu kemampuan melihat sesuatu keadaan daripada sudut orang lain.
Krisis common sense tidak perlu ditangani dengan sindiran atau kemarahan yang berlebihan. Bahkan, tindakan memperlekeh orang lain atas alasan mereka ‘tidak mempunyai common sense’ juga mungkin bercanggah dengan semangat maslahat. Kesilapan perlu diperbetulkan dengan pendidikan, nasihat dan contoh yang baik.
Sebelum melakukan sesuatu, tanyakanlah: Adakah tindakan ini membawa kebaikan yang sebenar atau sekadar memenuhi kehendak diri? Adakah ia menyelesaikan masalah atau menambahkan kerosakan? Adakah kita mahu diperlakukan dengan cara yang sama?
Di situlah bermulanya akal maslahat, akal yang bukan sahaja mampu berfikir, tetapi juga tahu menimbang, bukan sahaja mengenali hak, tetapi memahami tanggungjawab dan bukan sahaja mencari manfaat untuk diri, tetapi turut memelihara kesejahteraan bersama.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mohd Rasyidi Ali
Pensyarah
Fakulti Syariah dan Undang-undang
Universiti Islam Selangor (UIS)
e-mel: mohdrasyidi@uis.edu.my