Kejayaan Kampung Mukut jadi asas peluasan Jangkau Digital

Datuk Amar Huzaimi Md Deris / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Kejayaan Program Jangkau Digital meningkatkan sosioekonomi penduduk Kampung Mukut dalam tempoh setahun menjadi asas kepada peluasan inisiatif itu ke kampung-kampung lain di Pulau Tioman secara berperingkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemudahan digital membolehkan usahawan Kampung Mukut mempromosi dan mengembangkan perniagaan tanpa perlu ke Mersing.
  • Golongan belia menggunakan kemudahan digital mempromosi pelancongan, meningkatkan pendapatan lebih konsisten sepanjang tahun.
  • TM merancang peluasan Program Jangkau Digital ke kampung lain Pulau Tioman dan pelaksanaan TM Future Skills di empat sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, antara impak paling ketara program berkenaan ialah membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan tanpa perlu ke Mersing semata-mata untuk tujuan promosi.

Katanya, kemudahan digital yang disediakan membolehkan usahawan menjalankan aktiviti promosi dan mengembangkan perniagaan dari Kampung Mukut, sekali gus memberi mereka lebih banyak masa untuk menambah baik perniagaan serta bersama keluarga.

“Kita membawa teknologi untuk dimanfaatkan masyarakat bagi meningkatkan pendapatan, memperkasakan pendidikan anak-anak dan memberi matlamat baharu kepada golongan belia.

“Hari ini, usahawan di Kampung Mukut boleh mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu lagi ke Mersing untuk mempromosikan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Menurut Datuk Huzaimi, golongan belia turut memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan bagi mempromosikan aktiviti pelancongan di Kampung Mukut.

Usaha itu membolehkan pengusaha aktiviti pendakian dan pelancongan menikmati pendapatan yang lebih konsisten sepanjang tempoh setahun pelaksanaan program.

“Belia di Kampung Mukut sangat menghargai keindahan alam sekitar kampung mereka.

“Alhamdulillah, mereka kini memperoleh pendapatan yang lebih konsisten dan lebih tinggi selepas kita membawa teknologi itu ke kampung mereka,” katanya.

Mengulas perancangan seterusnya, Datuk Huzaimi berkata, TM berhasrat memperluas Program Jangkau Digital ke kampung-kampung lain di Pulau Tioman secara berperingkat.

Peluasan itu turut dirancang menerusi program TM Future Skills (TMFS) di empat sekolah di Pulau Tioman, selain meneruskan pembangunan bakat belia termasuk dalam bidang sukan layar.

Program Jangkau Digital yang dilaksanakan sejak Ogos tahun lalu menjadikan Kampung Mukut sebagai Kampung Eko Pintar pertama di Malaysia.

Inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Program Kampung Angkat MADANI menerusi pembangunan infrastruktur digital, pemerkasaan ekonomi dan pendidikan, selain usaha memelihara alam sekitar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.