
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Malaysia perlu mempercepat usaha memperkasa tenaga kerja dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan pemikiran kreatif bagi mendepani perubahan teknologi yang semakin pesat.
- Hampir 700,000 pekerjaan berpotensi terjejas oleh perkembangan AI, menuntut tindakan segera daripada pihak berkepentingan.
- Pekerja perlu meningkatkan kemahiran dan menjalani latihan semula untuk kekal relevan dalam pasaran tenaga kerja.
- AI membantu memproses dan menganalisis data serta mengurangkan kesilapan akibat keletihan dan emosi.
- Tenaga kerja perlu jadi pencipta AI, membina aplikasi automatik bukan hanya menggunakan ChatGPT atau alat sedia ada.
Ketua Arkitek dan Penasihat Kecerdasan Buatan,Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, Prof. Dr. M. Nazri Muhd berkata, langkah itu perlu dilaksanakan susulan hampir 700,000 pekerjaan berpotensi terjejas berikutan perkembangan teknologi AI.
Situasi itu sekali gus menuntut pekerja meningkatkan kemahiran dan menjalani latihan semula bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran tenaga kerja.
“Ia bergantung kepada jenis pekerjaan. Sebagai contoh, bagi pekerja Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti juruteknik, begitu juga pekerja pentadbiran pejabat dan penyambut tetamu.
“Jika masih menggunakan kaedah lama seperti membuka telefon dan memfailkan dokumen satu persatu, kaedah itu perlu diperbaharui dengan penggunaan AI.
“AI boleh membantu memproses dan menganalisis data, mengesan kesilapan dan sebagainya. Pada masa sama, manusia perlu meningkatkan keupayaan melalui design thinking untuk memikirkan bagaimana masalah itu boleh dikurangkan dengan menggunakan AI,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Forum Kepimpinan Sumber Manusia, Bakat dan Majikan Terbaik 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
AI berpotensi digunakan untuk pelbagai keperluan termasuk mengkaji bil, menganalisis penyata kewangan serta menilai rekod akademik.
“Ini menunjukkan teknologi berkenaan boleh digunakan secara lebih meluas dan bukan sekadar menghasilkan arahan melalui prompt,” katanya lagi.
Penggunaan AI juga dapat meminimumkan kesilapan manusia yang berpunca daripada keletihan, emosi dan pelbagai gangguan ketika menjalankan tugas.
“Di AIDT Lab di KSI, kami memberikan perhatian untuk menjadikan setiap pekerja daripada sekadar pengguna AI kepada pencipta AI.
“AI bukan sahaja sekadar menggunakan ChatGPT, Gemini atau Copilot, tetapi perlu digunakan dan dibentuk sebagai satu aplikasi atau alat yang boleh membantu menyelesaikan tugas secara automatik,” katanya.