
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan, khususnya dalam sektor pembinaan, latihan serta perkhidmatan kejuruteraan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
- Malaysia mempunyai tenaga kejuruteraan berkemahiran dan grid elektrik kukuh bagi menyokong operasi pusat data.
- Negara secara relatif kurang terdedah kepada bencana alam besar, menyokong kestabilan infrastruktur kritikal.
- ENGINEER & MARVEX 2026 di KLCC memperkenal The Engine Room dengan demonstrasi pusat data, penyimpanan bateri dan inovasi HVAC.
- Pengunjung berpeluang mengikuti lebih 100 jam sesi ilmu melibatkan lebih 150 penceramah tempatan dan antarabangsa.
Ketua Perunding Pusat Data, Ir. Lee Cheng Pay berkata, potensi itu disokong keupayaan negara dari segi tenaga kejuruteraan berkemahiran serta grid elektrik yang kukuh untuk menampung perkembangan industri berkenaan.
“Malaysia mempunyai ramai jurutera yang mampu menyokong operasi dan penyelenggaraan infrastruktur, termasuk pusat data. Oleh itu, Malaysia mempunyai bekalan tenaga kejuruteraan yang mencukupi.
“Kita juga secara relatifnya kurang terdedah kepada bencana alam besar,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media Pameran dan Persidangan Kejuruteraan Malaysia (ENGINEER) dan Ekspo Penyaman Udara, Penyejukan dan Pengudaraan (MARVEX) 2026 di sini, pada Khamis.
ENGINEER & MARVEX 2026 akan berlangsung dari 22 hingga 25 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Edisi tahun ini memperkenal ‘The Engine Room’ yang menampilkan tiga demonstrasi utama meliputi infrastruktur pusat data, sistem penyimpanan tenaga bateri serta inovasi HVAC untuk bangunan pintar dan hijau.
Pengunjung turut berpeluang mengikuti lebih 100 jam sesi perkongsian ilmu melibatkan lebih 150 penceramah tempatan dan antarabangsa.