
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ekonomi Malaysia kekal pada landasan kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus tahun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.
- BNM: Tiada keperluan menyemak semula unjuran KDNK sekarang.
- Pertumbuhan disokong asas kukuh, permintaan domestik berdaya tahan dan kesiapsiagaan dasar.
- Perbelanjaan isi rumah pemacu utama, disokong pendapatan stabil, simpanan dan sokongan kerajaan; pinjaman sumbang sebahagian kecil.
- Kesan El Nino dijangka berperingkat, terhad kepada sektor pertanian; perniagaan dan isi rumah dinasihat sediakan langkah awal.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, tiada keperluan untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal stabil, disokong asas ekonomi yang kukuh, permintaan domestik berdaya tahan serta kesediaan dasar.
“Dengan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama tahun ini, pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan 2026 dijangka sekitar 5 peratus.
“Permintaan domestik dijangka kekal berdaya tahan, didorong perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan. Dari sudut luaran, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh serta permintaan berterusan terhadap eksport bukan E&E dijangka terus menyokong pertumbuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, perbelanjaan isi rumah terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan, disokong peningkatan pendapatan yang stabil, simpanan serta langkah sokongan kerajaan.
“Faktor utama yang menyokong penggunaan ialah pendapatan, diikuti simpanan, sokongan dasar kerajaan dan pinjaman isi rumah.
“Bagaimanapun, pinjaman hanya menyumbang sebahagian kecil kepada penggunaan secara langsung,” katanya.
Mengenai kesan fenomena El Nino terhadap ekonomi, beliau berkata, impaknya dijangka berlaku secara berperingkat dan sebahagian besarnya terhad kepada sektor pertanian.
Sehubungan itu, perniagaan dan isi rumah disaran membuat persediaan awal serta menyesuaikan diri sekiranya keadaan bertambah buruk akibat fenomena berkenaan.