
JAKARTA, 14 Ogos – Kerajaan Indonesia akan menutup lebih 750 syarikat milik negara menjelang akhir tahun ini, kata Presiden Prabowo Subianto.
- Penubuhan Danantara mendedahkan terdapat 1,074 syarikat milik negara, jauh lebih banyak daripada anggaran 300-400.
- Ramai syarikat milik negara tidak produktif; laporan rugi palsu didakwa wujud, dan mahkamah khas untuk siasatan sedang dipertimbangkan.
- Penutupan dan penstrukturan sudah menjimatkan kira-kira 50 trilion rupiah, dengan sasaran penjimatan lebih 70 trilion tahun ini.
Menurut beliau, kerajaan turut mempertimbang penubuhan mahkamah khas bagi menyiasat lembaga pengurusan yang “tidak produktif”.
“Terlalu banyak syarikat milik negara yang tidak produktif, sentiasa melaporkan kerugian tetapi mendakwa memperoleh keuntungan — keuntungan itu sebenarnya direka-reka,” kata Prabowo dalam ucapan kenegaraan di Parlimen.
Beliau berkata, susulan penubuhan dana kekayaan berdaulat Indonesia, Danantara untuk mengurus aset negara pada tahun lalu, kerajaan mendapati jumlah syarikat milik negara adalah sebanyak 1,074.
“Saya menyangka terdapat 300 atau 400 syarikat milik negara, tetapi rupa-rupanya terdapat 1,074. Dan syarikat-syarikat milik negara ini kadangkala beroperasi sesuka hati, tanpa rasa tanggungjawab kepada negara,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 290 syarikat telah ditutup dan menjelang 31 Disember, jumlah itu sepatutnya tidak melebihi 300 syarikat.
“Kami akan menutup lebih 750 syarikat dan mengekalkan hanya syarikat yang produktif, yang mencipta nilai tambah untuk rakyat,” tambah Probowo sambil menyifatkan langkah berkenaan sebagai kemungkinan antara penstrukturan semula korporat terbesar di dunia.
Langkah tersebut telah menjimatkan kira-kira 50 trilion rupiah (lebih AS$2.8 bilion) dalam kos operasi, termasuk gaji pengarah dan pesuruhjaya, sewaan bangunan dan kenderaan serta perjalanan atas urusan perniagaan.
Sasaran bagi tahun ini adalah untuk menjimatkan lebih 70 trilion rupiah, kata Prabowo. -AFP