
PUTRAJAYA, 13 Ogos – Sambutan pemandu terhadap Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) yang dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) masih rendah.
- Pemeriksaan kesihatan ditawarkan pada RM30, baki RM55 disubsidi oleh PERKESO.
- Menteri menyeru pemandu, terutama warga emas, membuat pemeriksaan demi keselamatan mereka.
- Pemeriksaan menyeluruh penting untuk mengesan awal masalah seperti tekanan darah tinggi dan diabetes.
- JPJ bekerjasama dengan PERKESO dan MMA untuk klinik panel, sistem dalam talian dan integrasi MySIKAP bagi pembaharuan lesen.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pemandu seharusnya mengambil peluang berkenaan untuk mendapatkan pemeriksaan pada harga RM30 sahaja daripada keseluruhan kos pemeriksaan berjumlah RM85.
Jelas beliau, baki RM55 ditanggung PERKESO menerusi subsidi yang disediakan kepada setiap pemandu.
“Walaupun kita memberikan subsidi dengan satu kos pemeriksaan yang sangat rendah pada RM30, tetapi tidak ramai pemandu menyahut sambutan itu ataupun membuat pemeriksaan.
Jadi saya berharap pemandu terutamanya yang berusia agar dapat membuat pemeriksaan kesihatan demi keselamatan mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Tahun 2026 dan Pelancaran Bulan Kebangsaan kementerian itu di sini.
Menurut beliau, pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh penting bagi mengesan lebih awal masalah seperti tekanan darah tinggi dan diabetes, khususnya dalam kalangan pemandu berusia.
Sebelum ini, pemandu hanya perlu mengemukakan borang pemeriksaan kesihatan yang disahkan doktor atau klinik ketika memperbaharui lesen.
Bagaimanapun, pelaksanaan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh menerusi kaedah berkenaan sukar dipastikan.
Justeru, JPJ bekerjasama dengan PERKESO dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi mengenal pasti klinik panel serta membangunkan sistem pemeriksaan secara dalam talian.
Dapatan pemeriksaan akan dimasukkan doktor ke dalam sistem dan diintegrasikan dengan sistem MySIKAP bagi memudahkan semakan ketika pembaharuan lesen.
Langkah itu bukan sahaja memudahkan urusan pembaharuan lesen vokasional, malah membantu mengurangkan birokrasi serta membolehkan kerajaan memantau tahap kesihatan pemandu dengan lebih berkesan.