
SHAH ALAM, 13 Ogos – Penjenamaan semula Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kepada Selangor International Trade Centre (SITC) bertujuan mentransformasi dan meremajakan pusat bandar Shah Alam.
- PKNS menegaskan penjenamaan itu menandakan evolusi SACC menjadi hab perdagangan dan perniagaan yang lebih dinamik, berdaya saing dan berorientasikan masa depan.
- SITC bertujuan menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan antarabangsa.
- PKNS merangka penjenamaan aset di Seksyen 14 untuk membentuk SA Sentral beridentiti tersendiri bagi memacu perniagaan, pelaburan dan aktiviti komuniti.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengumumkan penjenamaan semula itu sebagai menandakan evolusi peranan pusat konvensyen berkenaan kepada hab perdagangan dan pernigaan yang lebih dinamik, berdaya saing dan berorientasikan masa hadapan.
Sebagai platform perdagangan, konvensyen dan pameran utama di Selangor, SITC membawa aspirasi untuk menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan antarabangsa.
Sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan.
“Seiring usaha peremajaan pusat bandar, PKNS turut merangka penjenamaan semula beberapa aset komersial dan komponen lain khususnya di Seksyen 14.
“Setiap komponen akan diposisikan dengan identiti, karakter dan fungsi tersendiri bagi membentuk jenama SA Sentral yang lebih kukuh, tersusun dan saling melengkapi,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, transformasi itu turut dijangka memperkukuh kedudukan SA Sentral sebagai mercu tanda baharu Shah Alam, selain meningkatkan daya tarikan sebagai tempat perniagaan, perdagangan, pelaburan dan aktiviti komuniti.