
KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Sebuah lori sampah dipercayai mengalami kegagalan sistem brek sebelum terbabas dan menghempap tiga kereta yang diparkir di kawasan Kondominium Pantai Hillpark Pantai Dalam, awal pagi tadi.
- Kejadian kira-kira 4.10 pagi: lori hilang kawalan ketika menuruni jalan dan melanggar tembok pagar kondominium.
- Bahagian hadapan lori terjatuh lalu menghempap tiga kereta yang diparkir tanpa pemandu.
- Pemandu cedera kaki, dirawat di HCTM; ujian pernafasan negatif; lori akan dihantar ke PUSPAKOM; siasatan menurut Seksyen 43(1).
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, lori berkenaan sedang bergerak menuruni jalan sebelum pemandunya hilang kawalan lalu melanggar tembok pagar kondominium.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, bahagian hadapan lori kemudian terjatuh dan menghempap tiga kereta yang parkir di kawasan itu dan tidak mempunyai pemandu ketika kejadian.
Katanya, pemandu lori berusia 41 tahun itu tidak berada di lokasi ketika polis tiba sebelum berjaya dikesan ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), HUKM.
“Pemandu mengalami kecederaan pada kaki kiri. Ketika kejadian, terdapat dua pekerja lelaki warga Bangladesh berusia sekitar 25 tahun yang sedang mengutip sampah di kawasan berkenaan, namun kedua-duanya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu berkenaan hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.15 petang tadi untuk membuat laporan polis berhubung kejadian.
Katanya, ujian pernafasan mendapati pemandu terbabit negatif alkohol.
“Lori berkenaan akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.