Dua warga Singapura diculik, lima suspek ditahan

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Polis berjaya menumpaskan sindiket penculikan dan menyelamatkan dua warga Singapura dalam operasi khas di Iskandar Puteri, Johor, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga mangsa membuat laporan pada 10 Ogos tentang penculikan seorang lelaki 32 tahun sekitar Johor Bahru.
  • Polis menemui dan menyelamatkan seorang lelaki serta seorang wanita kira-kira jam 6 petang, 11 Ogos, di pasar raya Nusa Bestari.
  • Seorang lelaki tempatan 40 tahun ditahan semasa urus pembayaran wang tebusan; kemudian empat lelaki dan seorang wanita turut ditahan.
  • Rampasan termasuk RM41,400, S$12,000, rantai emas, sebuah kereta, jam tangan dan 10 telefon; nilai keseluruhan dianggarkan RM264,440.

Operasi itu dijalankan selepas keluarga mangsa membuat laporan polis pada 10 Ogos berhubung penculikan seorang lelaki berusia 32 tahun di sekitar Johor Bahru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, hasil risikan, polis berjaya mengesan dan menyelamatkan mangsa lelaki serta seorang wanita kira-kira jam 6 petang, 11 Ogos lalu, di sebuah pasar raya di Nusa Bestari.

“Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan ketika sedang menguruskan pembayaran wang tebusan.

“Susulan tangkapan itu, beberapa siri serbuan dilakukan dan polis berjaya menahan empat lagi lelaki serta seorang wanita, kesemuanya warga tempatan.

“Pemeriksaan fizikal mendapati mangsa lelaki mengalami kecederaan pada kedua-dua paha yang dipercayai akibat penggunaan senjata tajam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Kecederaan itu dipercayai dilakukan bagi meyakinkan keluarga mangsa supaya membayar wang tebusan sebanyak 25,000 dolar Singapura.

Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas wang tunai kira-kira RM41,400 dan S$12,000, selain rantai emas, sebuah kereta, seutas jam tangan serta 10 telefon bimbit.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM264,440.

Semakan mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala empat lagi didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua suspek direman sehingga 21 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Motif sebenar penculikan masih dalam siasatan.

Sementara itu, mangsa lelaki ditahan Jabatan Imigresen kerana disyaki memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.